03 April 2013

Bubar Parlimen: Najib pilih 4 tahun genap jadi PM

22 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


ANALISIS - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menghadapi pilihan raya umum ke-13 (PRU13) dengan rekod cemerlang yang dibuktikan sepanjang empat tahun menerajui kerajaan Barisan Nasional (BN) yang memberi manfaat besar kepada rakyat, kata seorang penganalisis politik.

Datuk Dr Kaisan Abdul Rahman berkata, rekod cemerlang Najib pastinya sudah dinilai dan dihargai rakyat jelata yang akan memberikan mandat lebih besar kepada beliau untuk menerajui dan membawa Malaysia mencapai tahap negara maju berpendapatan tinggi sebelum 2020.

"Saya yakin rakyat yang berpendidikan dan bijaksana akan memberikan mandat yang besar kepada Datuk Seri Najib. Ini kerana bagi rakyat, yang terpenting ialah masa depan mereka dan generasi muda anak cucu mereka yang lebih terjamin.

"Hanya Najib dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dapat berperanan secara sinergistik memastikan masa depan terbaik buat Malaysia. Pembangkang bukanlah pilihan kerana hanya beretorik, memberi janji kosong lantaran manifesto mereka bukan untuk ditunaikan," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata kajian rambang yang dilakukannya di Kelantan yang kononnya taksub terhadap Pas sebelum ini, kini menunjukkan trend perubahan yang kian jelas memihak kepada BN lantaran rakyat Kelantan telah bosan dengan ribuan helah dan alasan Pas menutupi kegagalannya sepanjang lebih 20 tahun memerintah.
   
Dr Kaisan berkata lebih 800,000 pengundi di Kelantan telah lama membuka mata dan menyedari bahawa semua projek pembangunan di Kelantan adalah hasil usaha BN dan Najib yang memberi perhatian khusus kepada negeri ini.

"Memang benar selama ini ramai berpendapat rakyat Kelantan tidak begitu ketara menyokong Umno dan BN tetapi kini dengan kerja keras dan keikhlasan BN tidak mengenepikan Kelantan, mereka sedar sudah tiba masanya untuk berterima kasih kepada BN melalui sokongan dan undi pada PRU13 ini," katanya.

Beliau percaya rakyat Kelantan, terutama puluhan ribu pengundi muda dan pengundi pertama kali juga akan mengundi BN kerana mereka mahukan peluang pekerjaan yang lebih baik, taraf kehidupan yang setanding dengan rakan mereka di negeri lain dan keyakinan terhadap kerajaan yang prihatin terhadap kebajikan mereka.

"Bukan sahaja penduduk Kelantan tetapi juga rakyat Malaysia seluruhnya sangat merasai kasih sayang yang dicurahkan Najib melalui pelbagai program dan program transformasi nasional. Semuanya dilaksanakan merata tanpa meminggirkan mana-mana pihak termasuk penduduk di negeri pembangkang," katanya. 

Pesara dan pemerhati politik tempatan Kelantan, Zainab Yusoff pula berpendapat langkah Perdana Menteri memilih mengumumkan pembubaran Dewan Rakyat setelah genap empat tahun menerajui kerajaan, "rupa-rupanya untuk memenuhi sebaik mungkin tempoh mandat dan amanah memerintah."

Beliau berkata usaha Najib menunaikan amanah empat tahun itu memberi kesan besar kepada pola fikiran rakyat terhadap percaturan politik kerana orang lain mungkin akan mengadakan pilihan raya umum secepatnya sebaik menyambung tampuk kuasa daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi, demi meyakinkan diri.

"Saya percaya rakyat kini nampak jelas kepentingan tempoh empat tahun itu yang dihargai Najib sepenuhnya dengan melakukan pelbagai usaha transformasi yang terbaik untuk Malaysia. Kini untuk lima tahun ke depan, wajarlah rakyat memberi pula kepada Najib mandat dan sokongan untuk kepimpinannya sendiri," katanya.

Zainab berkata, kalau dalam empat tahun yang penuh cabaran dan dugaan terhadap kepimpinannya serta kedudukan BN tanpa dua per tiga majoriti di Dewan Rakyat, Najib sudah dapat mencatat rekod cemerlang, pastilah dengan majoriti yang lebih besar PRU13 beliau akan memacu Malaysia menjadi lebih cemerlang.

Rekod cemerlang kerajaan BN pimpinan Najib juga mendapat perhatian dan sokongan generasi muda khususnya di kalangan mahasiswa yang sedar bahawa peluang yang mereka peroleh untuk menimba ilmu bagi membina masa depan adalah usaha
kerajaan BN selama ini.

Seorang pemimpin pelajar Universiti Tun Abdul Razak, Afiq Radzuan berkata, pinjaman PTPTN, bantuan baucer buku, kad diskaun pelajar contohnya adalah inisiatif yang membuktikan keprihatinan kerajaan BN bagi kemajuan dan kesejahteraan mahasiswa.
   
Beliau percaya mahasiswa yang merupakan golongan majoriti senyap akan mengundi BN pada PRU13 kerana mereka tidak akan mempertaruhkan negara dan masa depan kepada pakatan pembangkang yang merupakan 'parti politik yang keliru dan
mengelirukan'.

"Majoriti kami memang senyap tetapi bukan bererti kami tidak berfikir dan menilai baik buruk... kami senyap kerana kami tidak mahu kampus dilanda rusuhan jika berdepan secara keras dengan segelintir mahasiswa yang diperalatkan pembangkang.

Tengoklah dalam PRU ini mahasiswa akan mengajar mereka melalui peti undi," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata Najib bertindak bijaksana mengumumkan pembubaran Dewan Rakyat hanya setelah membentangkan semua pencapaian kerajaan BN untuk dinilai rakyat dan bukannya hanya dengan cakap-cakap kosong seperti pembangkang.

"Malaysia ibarat sebuah rumah yang sudah sangat indah untuk kami, generasi muda, warisi. Takkanlah kami nak robohkannya hanya kerana janji-janji kosong pembangkang kononnya untuk mendirikan mahligai.

"Bagi BN, kami yakini janjinya ditepati. Datuk Seri Najib dan Muhyiddin merupakan teladan terbaik buat kami pemimpin masa depan," katanya.  - Bernama

Tiada ulasan: