03 April 2013

PAS alu-alukan jaminan peralihan kuasa aman

22 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: PAS mengalu-alukan jaminan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa peralihan kuasa akan berlangsung dengan aman damai selepas pilihanraya umum ke 13.

“Pihak PAS juga memberi jaminan bahawa peralihan kuasa ini akan berlangsung dengan penuh  aman damai,” kata Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu adalah sebagai reaksi balas kepada jaminan Najib ketika mengumumkan pembubaran parlimen pada pukul 11.35 pagi tadi.

Tuan Ibrahim juga seluruh jentera dan petugas parti agar meningkatkan gerak-kerja bagi memastikan Pakatan Rakyat berjaya dalam PRU13 kali ini

Selain itu, Pesuruhjaya PAS Pahang itu berkata rakyat tidak akan dibiarkan dalam keadaan rimas selama 2 tahun untuk mengetahui tarikh pilihanraya seperti yang berlaku kini.

"PAS bersama Pakatan Rakyat berjanji akan mengumumkan tarikh pilihanraya setahun lebih awal apabila kami diberi mandat memerintah negara selepas PRU13 nanti,” tegas Tuan Ibrahim.

Sementara itu, pelbagai pihak tertanya-tanya, apa perlunya Najib membuat kenyataan peralihan kuasa akan berlaku secara aman itu.

"Ini menunjukkan Najib sendiri terpaksa menjawab bahawa akan ada kemungkinan berlakunya peralihan kuasa selepas pilihan raya ke 13 ini," kata mereka.

HARAKAHDAILY/-

Tiada ulasan: