03 April 2013

DUN Perlis, Melaka dan Sabah bubar hari ini

22 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Dewan Undangan Negeri (DUN) tiga buah negeri - Perlis, Melaka dan Sabah - dibubarkan hari ini ekoran pembubaran parlimen yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pengumuman pembubaran DUN negeri-negeri tersebut diumumkan oleh menteri besar dan ketua menteri masing-masing.

Di Perlis, Dewan Undangan Negeri Perlis dibubarkan serentak dengan pembubaran Dewan Rakyat bagi membolehkan pilihan raya umum ke-13 diadakan.

Pengumuman mengenai pembubaran itu dibuat oleh Menteri Besar Datuk Seri Dr Md Isa Sabu selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Kompleks Dewan Undangan Negeri Perlis pukul 1 tengah hari.

Katanya beliau menyembah maklum kepada Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail melalui telefon mengenai perkara itu sebaik mesyuarat Exco berakhir pukul 12.50 tengah hari dan baginda memberi perkenan.

Raja Perlis kini berada di luar Perlis dan yang demikian perkara itu disembah maklum melalui telefon kepada baginda, katanya.

Bagaimanapun beliau akan memohon menghadap Raja Perlis sama ada malam ini atau esok berhubung perkara itu.

Md Isa berkata Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis Datuk Yazid Mat juga telah dimaklumkan mengenai pembubaran itu.

Mengenai persiapan pilihan raya umum, beliau berkata Barisan Nasional (BN) Perlis telah bersedia untuk menghadapinya dan sedang menunggu senarai calon daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pengerusi BN Perlis itu berkata segala persiapan telah dibuat meskipun pengarah pilihan raya BN Perlis belum dilantik.

Perlis mempunyai tiga kawasan parlimen iaitu Padang Besar, Kangar dan Arau yang dikuasai BN sebelum pembubaran Dewan Rakyat dan 15 kerusi dewan undangan negeri, iaitu 13 kerusi dikuasai BN dan dua kerusi dikuasi PAS - Simpang Empat dan Sanglang.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mewartakan sebanyak 137,349 pemilih bagi negeri Perlis.

Malaysiakini/-

Tiada ulasan: