03 April 2013

Mesin ATM dipecah, RM300,000 lesap

22 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Mesin ATM dipecah, RM300,000 lesap
Dua mesin ATM dan CDM ini dipecah menggunakan gas oxyacetylene oleh penjenayah.
KUALA LUMPUR - Sekumpulan penjenayah dipercayai Geng Oxy bukan sahaja memecah masuk kedai pengurup wang dalam bangunan di Jalan Medan Pasar, di sini, malah turut memecah dua mesin pengeluaran tunai (ATM) dan deposit tunai (CDM) premis, sebelum melarikan wang berjumlah kira-kira RM300,000.

Kejadian itu dipercayai berlaku awal pagi semalam, namun hanya disedari penyelia bangunan terbabit pada jam 7.45 pagi.

Penyelia bangunan berusia 39 tahun itu, kemudiannya membuat laporan polis berhubung kejadian.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, pemeriksaan menemui satu lubang pada dinding kedai pengurup wang tersebut.

Beliau berkata, kumpulan penjenayah itu mungkin menggunakan tukul besi untuk memecahkan dinding, sebelum masuk ke dalam kedai.

"Dua mesin iaitu mesin ATM dan CDM yang terdapat dalam premis turut dipecah menggunakan gas oxy-acetylene.

"Wang tunai berjumlah RM300,000 dari dua mesin itu lesap dilarikan penjenayah," katanya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS), semalam.

Menurutnya, berdasarkan modus operandi digunakan, polis tidak menolak kemungkinan kejadian ini ada kaitan dengan Geng Oxy.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata, pihaknya sudah meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) premis.

Menurutnya, berdasarkan rakaman itu terdapat dua individu berada berhampiran dengan dua buah mesin tersebut.

"Usaha mengesan penjenayah terlibat giat dijalankan," katanya.

sinar/-

Tiada ulasan: