03 April 2013

Bubar: PAS dah lama sedia - TG Nik Aziz

22 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


KOTA BHARU: Tidak sedia berdepan pembubaran parlimen bila-bila masa kerana persediaan menghadapi Pilihanraya Umum Ke-13 (PRU13) sudah lama disiapkan.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz berkata, sama ada pembubaran itu berlaku hari ini atau pun bila-bila, PAS tidak mengahadapi sebarang tekanan berdepan pembubaran tersebut.

Malah katanya, semua rakyat sedar bahawa Umno yang kini berdepan tekanan dan dilihat lemah khususnya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sendiri.

“Kerana itu Umno memberikan duit kepada rakyat, bagi duit pada rakyat tu untuk apa?,” katanya ketika ditemui di Kota Darulnaim semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas desas-desus kemungkinan parlimen dibubar hari ini bagi membolehkan pilihanraya umum dilakukan untuk penggal ke-13.

“Umno sekarang seperti lekat tulang, terkapai-kapai, tak boleh nak buat apa,”ujarnya.

Sementara itu hari ini berlangsungnya mesyuarat terakhir kabinet di Putrajaya bertepatan genap empat tahun Najib mengambil alih jawatan Perdana Menteri dari Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2009.

Dalam satu kenyataan oleh Pejabat Perdana Menteri di twitter pagi ini, Najib akan mengadakan sidang media khas jam 11.30 pagi dan akan disiar secara langsung di RTM.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: