22 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -
Ameerah Malaysia menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkenaan pembubaran Parlimen Malaysia pada hari ini.
Walaupun rakyat dibiar menunggu selama lebih setahun selepas ura-ura pembubaran parlimen yang kononnya akan berlaku lebih awal, tetapi selepas lebih 5 tahun dari tarikh pembuangan undi PRU12, Perdana Menteri akhirnya berani membuat pengumuman tersebut.
Tarikh pembubaran yang sememangnya menjadi tanda tanya kepada seluruh rakyat Malaysia kerana pertama kali dalam sejarah negara tempoh pentadbiran kerajaan yang paling lama berlaku. Yang paling memeranjatkan, rakyat terpaksa melihat Dewan Undangan Negeri Sembilan terbubar dengan sendiri pada 28 Mac yang lalu.
PRU13 menjanjikan pertandingan yang paling sengit di antara dua koalisi politik terbesar dalam negara iaitu Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional. Di kalangan anak muda, perbezaan ketara yang dapat dilihat dalam pendekatan kedua-dua koalisi ini adalah pemberian umpan dan tawaran.
Di pihak Barisan Nasional dilihat lebih gemar memberi umpan berupa pemberian “one-off” seperti BR1M, Baucer Buku 1Malaysia, rebat telefon pintar dan bermacam-macam lagi. Semua ini hanya dapat membantu meringankan sedikit beban rakyat dalam jangka masa yang pendek.
Isu yang paling menjengkelkan adalah kenyataan Perdana Menteri yang mana mengatakan pemberian BR1M RM500 cukup untuk menampung perbelanjaan makan minum keluarga selama setahun?
Di peringkat anak muda memandang pemberian bantuan jangka masa pendek ini tidak lebih daripada umpan pilihanraya di mana kehidupan selepas pilihanraya sekiranya Barisan Nasional terus memerintah, belum pasti menjanjikan masa depan yang cerah.
Hal ini berbeza dengan tawaran yang dinyatakan oleh Pakatan Rakyat. Dengan tawaran turun harga minyak, hapus tol, turun tarif elektrik dan cas air; semua ini mampu memberikan jaminan penurunan harga barang kepada rakyat.
Bukti kerajaan Selangor yang mampu memberi 20 meter padu air percuma walaupun hanya berkuasa di peringkat negeri, cukup untuk meyakinkan rakyat komitmen Pakatan Rakyat dalam memberi kehidupan yang lebih selesa kepada semua.
Selain itu tawaran pendidikan percuma, turun harga kereta dan pelaksanaan gaji minimum pasti mampu mengurangkan kos sara hidup rakyat selama ini.
Semua ini dapat meningkatkan kuasa beli rakyat dalam jangka masa panjang dan faktanya, daripada keseluruhan tawaran Pakatan Rakyat ini, setiap rakyat boleh menjimatkan perbelanjaan bulanan mereka sehingga RM500 sebulan.
Apa yang jelas, Pakatan Rakyat terlebih dahulu berani mengisytiharkan manifesto Pakatan Harapan Rakyat kepada seluruh warga Malaysia berbanding Barisan Nasional.
Manifesto pilihanraya yang julung-julung kali diumumkan oleh Pakatan Rakyat ini sememangnya memberi harapan baru kepada rakyat Malaysia dalam menjamin pembinaan negara bangsa yang berprestasi tinggi.
Rakyat juga terus menanti pengumuman manifesto di pihak Barisan Nasional yang dikatakan akan diumum sejurus selepas Parlimen dibubarkan.
Bagi anak muda, inilah budaya politik baru yang ingin disemai yakni pertandingan di antara agenda parti dengan agenda parti yang lain. Bukannya pertandingan baling batu, simbah cat dan berlawan kata-kata kesat.
Ameerah Malaysia juga mendesak agar Datuk Seri Najib memberi jaminan akan janji beliau bahawa proses pilihanraya dan peralihan kuasa akan berlaku dalam keadaan yang aman.
Di peringkat jentera Ameerah dan Muslimat Muda PAS, kita sememangnya telah lama bersedia untuk berdepan dengan Pilihan Raya Umum ke-13 ini.
Telah kedengaran suara-suara pengundi kali pertama yang tidak sabar-sabar lagi untuk mengundi. Jelas kelihatan juga kumpulan anak muda yang sudah tidak sabar-sabar mencipta sejarah perubahan di negara ini.
Ameerah akan memastikan setiap mereka ini akan disantuni oleh jentera Muslimat Muda PAS bagi memastikan undi pengundi muda akan terus berpihak kepada Pakatan Rakyat.
Justeru, kami menyeru kepada semua anak muda di luar sana untuk bersama-sama dengan kami dalam menjadi sukarelawan PRU13 bagi menyampaikan agenda Pakatan Rakyat kepada semua pengundi muda di luar sana.
Sejarah telah membuktikan perubahan itu pasti akan berlaku di atas kesedaran rakyat dan kitalah anak-anak muda yang akan menggerakkan kesedaran tersebut. Salam ubah untuk masa depan! Siap siaga untuk kemenangan!
Penulis ialah Pengerusi Ameerah, Lajnah Politik Muslimat Muda Dewan Muslimat PAS Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan