03 April 2013

Bubar: Apakah desakan Muhyiddin akan berjaya?

22 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Desas-desus semakin hangat bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan membubarkan Parlimen hari ini selepas mesyuarat terakhir Kabinet dan sesi bergambar bersama Najib dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dua hari lepas, Muhyiddin ‘menolak’ kemungkinan Najib akan membenarkan pembubaran automatik Parlimen sebelum PRU13.

“Saya tak fikir Perdana Menteri akan tunggu sehingga genap lima tahun sebelum membubarkan Parlimen. Pilihan raya akan diadakan dalam beberapa minggu pada April,” katanya pada perhimpunan Barisan 1 Malaysia peringkat Wilayah Persekutuan di Stadium  Titiwangsa.

Apakah desakan halus Muhyiddin terhadap bosnya berhasil supaya tidak melengahkan lagi PRU13?

Desas-desus yang hangat sejak semalam adalah ekoran laporan muka depan Berita Harian bertajuk ‘Parlimen dibubar seawal besok’ selepas kenyataan yang dibuat Muhyiddin.

Namun, hasrat Muhyiddin mungkin tidak tercapai ekoran kemunculan kenyataan daripada Datuk Seri Nazri Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri di sebelah petang yang menyatakan bahawa Parlimen tidak akan dibubarkan hari ini.

Pada masa yang sama, Najib turut memuatkan satu kenyataan di laman sesawang peribadinya memuji kerja Suruhanjaya Pilihan Raya untuk memastikan suara rakyat dinilai dengan adil.

Harakahdaily turut menerima pelbagai sms semalam yang menyatakan Parlimen bakal dibubar hari ini.

Sabtu lalu, The Star juga melaporkan bahawa sumbernya menyatakan Najib akan pergi berumrah hari ini dan oleh yang demikian, pembubaran Parlimen akan ditangguhkan ke pertengahan April.


Laporan akhbar MCA ini sangat tidak disenangi oleh pejabat Perdana Menteri. Ini kerana Najib dan Rosmah bercadang untuk pergi Umrah secara senyap-senyap sahaja. Ekoran itu ada laporan yang menyatakan Najib membatalkan umrah tiga hari itu.

Setiausaha Agong PAS Datuk Mustafa Ali semalam pula berkata Najib akan hadir persidangan ASEAN Summit di Brunei 24 hingga 25 April ini sebagai Perdana Menteri yang sah dan bukannya Perdana Menteri kerajaan sementara.

Sehubungan itu katanya, PRU13 akan diadakan pada penghujung Mei, tarikh akhir Negeri Sembilan mesti mengadakan pilihanraya. 

DUN Negeri Sembilan telah terbubar secara automatik pada 28 Mac yang lalu selepas Najib masih enggan membubarkan Parlimen.

DUN seterusnya yang bakal terbubar secara tersendiri ialah Pahang pada 8 April ini jika desakan Muhyiddin gagal untuk membuat Najib membubarkan Parlimen hari ini.

Sebelum ini, Harakahdaily melaporkan sumber Umno berkata bahawa Najib masih tidak menemui tarikh PRU13 kerana tekanan dalaman Umno.

Sumber itu berkata Najib sedang berusaha sedaya upaya sejak 1.5 tahun yang lalu untuk mencari titik di mana BN boleh menang dan beliau boleh kekal sebagai Presiden Umno.

“Jika bubar hari ini, maksudnya Muhyiddin menang dalam pertembungan dalaman – dan sudah pasti beliau pasti akan menjadi Presiden Umno selepas PRU13 jika BN gagal mendapat 2/3 kerusi parlimen.

"Jika tidak jadi bubar, pertembungan ini akan berterusan – Najib dan Muhyiddin perlu memastikan jumlah ahli Parlimen Umno yang menang di PRU13 datang daripada pasukan masing-masing untuk pencaturan pemilihan parti akan datang,” kata sumber Umno itu kepada Harakahdaily lewat malam tadi.

Harakahdaily/-

1 ulasan:

man aina13 berkata...

Bertanding mana kita?