28 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -
Kumpulan pelajar pro-Mahasiswa, Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) menuntut agar kementerian pengajian tinggi mengarahkan universiti memberi cuti tambahan kepada golongan siswa dan kakitangan kampus untuk keluar mengundi dalam pilihan raya umum ke-13.
Presiden Gamis Muhamad Azan berkata kumpulan siswa itu menuntut tempoh cuti sekurang-kurangnya selama lima hari – termasuk dua hari sebelum mengundi dan dua hari selepas hari pengundian.
Katanya, universiti juga seharusnya membatalkan segala kursus, dan aktiviti ko-kurikulum melibatkan warga kampus semasa pilihan raya.
“Tujuan yang paling besarnya ialah memberikan ruang kebebasan sepenuhnya kepada warga universiti melibatkan mahasiswa, ahli akademik dan kakitangan universiti untuk turun mengundi dalam pilihanraya umum yang akan datang,
“Usaha ini juga tidak lain dan tidak bukan adalah untuk mendidik rakyat secara umumnya tentang kepentingan merayakan pesta demokrasi terbesar dalam negara kita, ini bukan usaha main-main,” katanya dalam satu kenyataan.
Wakil kumpulan berkenaan menyerahkan memorandum yang mengandungi tuntutan tersebut kepada pegawai khas kepada timbalan menteri pengajian tinggi, Syahmi Amri di Putrajaya hari ini, menurut kenyataan itu.
Kumpulan siswa berkenaan diiringi penyokong, antaranya dari Persatuan Mahasiswa Universiti Putra Malaysia, Ikatan Studi Islam Universiti Kebangsaan Malaysia dan Maaruf Club Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Dalam perkembangan berkaitan, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Yusof hari ini berkata pilihan raya kali ini tidak semestinya diadakan semasa hari cuti.
Abdul Aziz dalam laporan The Star Online hari ini menyebut, hari cuti sekolah atau hari minggu bukanlah pertimbangan utama untuk menetapkan hari pengundian.
SPR juga tidak semestinya mengikut amalan lalu, katanya.
Malaysiakini/-
1 ulasan:
agreeddd..
Catat Ulasan