09 April 2013

Hanya sempat selamatkan kain dalam kebakaran

28 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


TOK PELANDOK, Pasir Mas – Pasangan warga emas yang mendiami rumah dua tingkat di sini, berjaya menyelamatkan diri daripada menjadi mangsa kebakaran apabila rumahnya musnah dijilat api dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi, semalam.

Mangsa, Ilyas Harun, 71, berkata, ketika kejadian, dia dan isteri, Fahizah Majid, 61, sedang tidur di tingkat bawah rumah mereka kerana baru sahaja balik dari tempat kenduri di kampung yang sama kira-kira jam 12 tengah malam.

Menurutnya, sebaik terjaga dia terlihat percikan api di tingkat bawah rumah dan terus bangun untuk memadamkan api bersama isterinya.

Katanya, cubaannya bersama isteri untuk memadam kebakaran itu tidak berhasil, apabila api semakin marak sekali gus memaksa dia dan isteri keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri.

“Pakcik tidak sempat menyelamatkan apa-apa, ketika melihat percikan api, pakcik cuba simbah dengan air, tapi gagal memadamkannya kerana api semakin merebak.

“Pakcik keluar sehelai sepinggang, makcik pula hanya sempat ambil beberapa helai kain yang baru diangkat dari jemuran,” katanya kepada Sinar Harian.

Ilyas berkata, dia tinggal di rumah itu bersama isteri dan anak kelimanya, tetapi ketika kejadian hanya dia serta isteri di rumah sementara anak lelakinya, Anuar, 20-an, tidur di kebunnya terletak kira-kira lima kilometer dari rumah.

Warga emas itu bersyukur dia dan isteri tidak mengalami sebarang kecederaan, walaupun semua barangan dan dokumen tidak dapat diselamatkan termasuk kad pengenalan.

“Ini ujian tuhan untuk pakcik sekeluarga, pakcik pasrah dan menerimanya dengan hati terbuka walaupun wang RM600 dalam rumah turut musnah terbakar,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Nashuha Fahd Ahmad Mijar berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang ramai memaklumkan kejadian kira-kira jam 2.21 pagi.

Beliau yang mengetuai operasi memadamkan kebakaran di tempat kejadian bersama lima anggota dan satu jentera.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, 65 peratus kediaman telah musnah dan bomba berjaya memadam kebakaran daripada memusnahkan sebuah kereta jenis Satria yang berada di hadapan rumah berkenaan.

“Punca kebakaran sehingga kini masih dalam siasatan dan jumlah kerugian dianggarkan kira-kira RM60,000,” katanya.

Sinar/-

Tiada ulasan: