28 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -
KOTA TINGGI - Perubahan yang ditunjukkan sejak kebelakangan ini rupanya menjadi petanda orang tersayang bakal pergi selama-lamanya.
Mohamad Jaafar Abdul Rahman, 72, seorang mandur ladang kelapa sawit yang maut selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 36 Jalan Lok Heng - Mawai dekat sini, semalam, dikatakan kuat makan sejak akhir-akhir ini.
Menurut anak mangsa, Norhayati Mohamad Jaafar, 42, yang ditemui di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi, ibunya ada memberitahu perubahan ayahnya itu.
Kali terakhir dia bertemu ayahnya ketika musim cuti sekolah, baru-baru ini, namun tidak menyangka bapanya yang baru sahaja pulang dari menunaikan umrah akan pergi selamanya.
“Kali terakhir saya berjumpa ayah ketika tidur di rumahnya pada cuti sekolah Mac lalu.
"Ayah berkelakuan seperti biasa sahaja cuma mak ada memberitahu saya selera makan ayah bertambah tidak seperti selalunya.
“Setiap kali waktu makan, ayah mesti makan banyak kata mak,” katanya yang reda dengan takdir itu.
Mohamad Jaafar dari Felda Aping Barat dekat sini, mengalami cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian kira-kira jam 9 pagi itu.
Bercakap kepada Sinar Harian, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Mohd Nor Rasid berkata, nahas tersebut melibatkan dua kenderaan iaitu Toyota Hilux dengan motosikal jenis Suzuki yang ditunggang mangsa.
Menurutnya, siasatan awal pihaknya mendapati, mangsa dari arah Felda Aping Barat menuju Lok Heng masuk ke laluan bertentangan.
“Mangsa yang mahu menyeberang ke simpang di kanan jalan telah masuk ke laluan bertentangan dan melanggar Toyota Hilux yang datang dari Lok Heng.
“Kejadian itu mengakibatkan kereta Toyota Hilux hilang kawalan dan terbalik di kiri bahu jalan. Mangsa seorang mandur ladang Felda meninggal di tempat kemalangan dan kes disiasat di bawah seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan,” katanya
Jenazah Mohamad Jaafar dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Bukit Aping Barat.
Sinar/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan