09 April 2013

Dibunuh dalam kedai sendiri

28 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Dibunuh dalam kedai sendiri

Mayat mangsa dihantar ke HRPB untuk bedah siasat mengenal pasti punca sebenar kematian.
TELUK INTAN - Bau busuk yang dihidu seorang pekerja kedai aksesori kereta dalam premis tempat kerjanya di Bandar Teluk Intan, membawa kepada penemuan mayat seorang lelaki yang juga majikannya sendiri.

Pekerja berkenaan juga tidak menyangka cecair merah yang menitik dari siling kedai aksesori berkenaan merupakan titisan darah majikannya.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang memaklumkan, polis menerima laporan berkenaan kejadian pada kira-kira jam 10.45 malam kelmarin daripada pekerja berkenaan.

Menurutnya, sepasukan pegawai dan anggota polis telah dikejarkan ke tempat kejadian sebaik sahaja laporan diterima untuk menyiasat kes tersebut.

“Mangsa dikenali sebagai Ken Yong Siang, 36 ditemui dalam keadaan berbaring dan mayatnya disembunyikan oleh suspek di atas siling kedainya sendiri. Berdasarkan keadaan mayat yang mulai mereput, mangsa disyaki telah dibunuh lebih dari 12 jam.

“Mayat mangsa ditemui oleh salah seorang pekerjanya yang terlihat cecair berwarna merah menitik dari siling kedai berkenaan selain terhidu bau busuk sejak mula membuka kedai,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Menurut Kok Liang, salah seorang pekerja mangsa meminta seorang rakan sekerja mengelap cecair yang menitik dari siling kedai.

Katanya, salah seorang pekerja naik ke tingkat atas dan terlihat majikannya terbaring berlumuran darah lalu membuat laporan polis.

“Siasatan yang dijalankan mendapati, mangsa cedera di bahagian kepala, bahu dan lehernya dikelar dipercayai menggunakan senjata tajam. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

“Polis turut menjalankan siasatan terhadap pekerja mangsa dan mendapat dua daripada pekerjanya hilang tanpa khabar berita sebelum satu pasukan mencari digerakkan,” jelasnya.

Kok Liang berkata, sehubungan itu, polis berjaya menahan dua lelaki berusia 17 dan 18 tahun yang disyaki mempunyai kaitan dengan kes berkenaan di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) kira-kira jam 11.30 pagi, semalam.

Katanya, polis akan membawa kedua-dua suspek yang berasal dari Sabah ke Teluk Intan untuk ditahan reman serta membantu siasatan polis berkenaan kes tersebut.

“Kami masih menyiasat motif kejadian bunuh pemilik kedai aksesori kereta ini. Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sinar/-

Tiada ulasan: