09 April 2013

Najib gagal tunai janji 650,000 peluang kerja baru

28 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -



KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak perlu mempertahankan angka 650,000 peluang pekerjaan baru setiap tahun yang dijanjikannya, apabila jelas rekodnya dalam mewujudkan peluang pekerjaan tidak ditepati.

Demikian kata Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli dalam satu kenyataan sebagai respons kepada salah satu janji utama yang dimuatkan di dalam Manifesto BN iaitu mewujudkan sejumlah 3.3 juta peluang pekerjaan dengan sasaran 2 juta peluang pekerjaan berpendapatan tinggi.

Katanya, tawaran peluang pekerjaan itu menjadi antara tawaran ekonomi paling utama di dalam Manifesto BN kepada rakyat Malaysia.

“Sebelum ini, Barisan Nasional selalu ghairah menuduh bahawa program ekonomi yang dibawa oleh Pakatan Rakyat sebagai tidak realistik, walaupun mereka tidak berkemampuan untuk menyanggah pembentangan angka-angka yang dibawa oleh Pakatan Rakyat,” katanya.

Jelasnya, untuk menyuburkan amalan demokrasi dan persaingan dasar menjelang PRU13 ini, PKR mengambil langkah membandingkan janji-janji di dalam Manifesto BN dengan rekod pencapaian mereka setakat ini, untuk menilai sama ada janji yang dibawa itu benar-benar boleh ditepati seperti yang selalu dilaungkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak.

Setiap tahun, ujarnya Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri menerbitkan jumlah pekerjaan keseluruhan dan guna tenaga buruh rasmi di dalam negara ini.

Angka itu, jelasnya yang juga Ahli Jawatankuasa Dasar dan Manifesto Pakatan Rakyat adalah tepat untuk menganggarkan jumlah pekerjaan baru yang dihasilkan setiap tahun.

Beliau berkata, perangkaan Unit Perancang Ekonomi menunjukkan bahawa Barisan Nasional hanya berjaya mewujudkan sekitar purata 300,000 pekerjaan baru sahaja setiap tahun sejak Najib menjadi Perdana Menteri, seperti di bawah.

Tahun
Jumlah Pekerjaan
Bilangan Pekerjaan Baru
2009
11.6 juta

2010
11.9 juta
300,000
2011
12.2 juta
300,000
2012
12.5 juta
300,000

Justeru, kata Rafizi untuk mewujudkan 3.3 juta peluang pekerjaan baru seperti yang dijanjikan di dalam Manifesto BN, ini bermakna Najib perlu menambah pekerjaan sebanyak 650,000 setahun secara purata, iaitu lebih dari satu kali ganda dari jumlah sedia ada.

“Angka ini tidak munasabah, terutamanya apabila tidak ada apa-apa rancangan di pihak Barisan Nasional untuk mengurangkan pergantungan kepada pekerja asing seperti yang dicadangkan oleh Pakatan Rakyat,” ujarnya.

Di dalam Manifesto Rakyat, Pakatan Rakyat mensasarkan untuk mewujudkan tambahan 1 juta peluang pekerjaan baru dengan tumpuan khusus untuk mengurangkan pekerja asing dan melatih pelajar lepasan SPM, bagi mengelakkan pengangguran di kalangan mereka.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: