09 April 2013

Rafizi: BR1M kurang bijaksana, kos RM11b setahun

Rafizi Ramli28 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Rafizi Ramli
PETALING JAYA – Pendekatan Barisan Nasional (BN) yang mahu meneruskan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) setiap tahun akan membebankan negara RM11 bilion setahun menjelang 2023, dakwa pemimpin Pakatan Rakyat (PR).

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli mendakwa, pemberian BR1m itu juga dilihat tidak akan menyelesaikan masalah dihadapi isi rumah berpendapatan rendah.

“Malahan, aku janji BN untuk menjadikan bantuan popular itu sebagai dasar tetap juga menandakan kegagalan mereka (BN) untuk memahami masalah asas yang menjejaskan ekonomi Malaysia.
“Pendekatan ini kurang bijaksana kerana ia menelan belanja besar tanpa mengubah struktur ekonomi sedangkan peruntukan RM7 bilion hingga RM11 bilion setahun itu lebih berkesan jika digunakan untuk menurunkan harga barang, menghapuskan tol, menurunkan harga kereta dan lain-lain,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR, semalam.

Sabtu lalu, Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan manifesto BN yang menggariskan 17 teras utama.
Antara yang disebutkan termasuklah menaikkan kadar BR1M kepada RM1,200 untuk isi rumah dan RM600 untuk bujang bagi menangani kos sara hidup, jika parti komponen itu terus diberi mandat memerintah.

Sementara itu, Rafizi menambah, jika BN meneruskan hasrat itu, inflasi dan kenaikan harga barang akan melunturkan kesan pemberian wang terus ini kepada rakyat yang dijangka akan menelan belanja sebanyak RM7.2 bilion dalam tahun pertama.

“Mengambil kira pertumbuhan penduduk sebanyak dua peratus secara purata dan inflasi pada kadar purata dua peratus untuk tempoh sedekad dari sekarang, menjelang tahun 2023 jumlah pembayaran BR1M akan mencecah RM11 bilion.}

"Pendekatan BN menggunakan pemberian ‘popular’ (BR1M) untuk memenangi hati pengundi menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) kerana menjangkakan akan berjaya memenuhi tuntutan rakyat sedangkan jumlah penerima bertambah jika reformasi gaji tidak dilakukan," katanya lagi.

Sebaliknya kata Rafizi, PR tidak akan meneruskan pemberian BR1M sekiranya mengambil alih kerajaan tetapi akan menggunakan pendekatan lain yang akan memberikan kesan kepada seluruh rakyat Malaysia.
Katanya, bantuan kewangan terus sebenarnya akan bertambah jika PR memerintah cuma dalam bentuk jenama dan pendekatan yang lain serta mengkhususkan kumpulan-kumpulan tertentu seperti warga emas, suri rumah dan orang kelainan upaya (OKU).

“... tetapi bukan kepada keluarga yang mempunyai pendapatan isi rumah di bawah RM3,000. PR akan cuba menyelesaikan masalah ekonomi mereka dan tidak hanya memberikan wang semata-mata,” jelas beliau.
“Dalam tempoh dua atau tiga tahun akan datang, saya tidak yakin wang berjumlah RM1,200 akan berjaya memenuhi tuntutan rakyat.

“Rakyat akan memohon supaya wang ini dinaikkan pada masa yang sama setiap tahun jumlah penerima juga akan bertambah sekiranya tidak ada reformasi ekonomi yang menaikkan gaji pekerja dan menambah peluang pekerjaan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Rafizi berkata, beliau akan terus mengemukakan analisis khusus terhadap isu perumahan, ekonomi dan lain-lain sepanjang minggu ini melalui penulisan serta video agar rakyat dapat membandingkan kedua-dua manifesto.

sinar/-

Tiada ulasan: