15 Februari 2012

Ahmad Said cabar kewibawaan ROS

22 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

RANTAU PANJANG, 15 Feb: Kenyataan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said menganggap PAS sebagai parti ajaran sesat secara tidak langsung mencabar kewibawaan Pejabat Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

Ini kerana ROS bertanggungjawab melulus pendaftaran PAS sebagai sebuah parti politik sejak 61 tahun lalu.

Bekas pensyarah kanan Akademi Islam Universiti Malaya, Senator Datuk Dr Johari Mat berkata, tuduhan melulu yang dibuat itu juga memperlihatkan Pengerusi Umno Terengganu tidak meneliti langsung impaknya terhadap Islam.

Kata beliau, tuduhan yang dilemparkan tersebut amat merbahaya dan menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat.

“Namun lebih dibimbangi lagi boleh menjejaskan akidah orang yang mengeluarkan kenyataan tersebut,” katanya ketika ditemui selepas kuliah Maulidurrasul di Masjid Beijing di sini malam kelmarin.

Turut hadir anggota Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusoff, Adun Gual Periok, Ustaz Mohamad Awang dan anggota jawatankuasa masjid berkenaan.

Baru-baru ini Ahmad Said ketika berucap pada majlis menyampaikan Bantuan Rakyat 1Malaysia di Kijal dilapor menuduh PAS kini tersasar jauh daripada perjuangan Islam dan menyifat sebagai ‘parti ajaran sesat’.

Ekoran itu Pemuda PAS mendesak Menteri Besar Terengganu menarik balik dan meminta maaf secara terbuka dalam tempoh seminggu sebelum diambil tindakan undang-undang.

Dr Johari yang juga anggota Jawatankuasa Dewan Ulamak PAS Kelantan menyifatkan Ahmad sebagai pemimpin yang tidak berhemat ketika mengeluarkan kenyataan.

Harakah Daily

Tiada ulasan: