15 Februari 2012

Buku Jingga: Ahmad Maslan hilang pertimbangan

22 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 15 Feb: Tindakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan mencampakkan Buku Jingga ke dalam tong sampah di hadapan pemimpin Felda disifatkan sebagai tidak matang.

Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman (gambar) berkata, tindakan itu mencerminkan sikap sebenar pemimpin BN yang menolak budaya perdebatan terbuka sebaliknya memilih memburuk-burukkan lawan di belakang.

"Ahmad Maslan hilang pertimbangan hingga bertindak mencampakkan Buku Jingga sedangkan kita telah beberapa kali tawarkan untuk berdebat secara terbuka.

"Kerajaan seharusnya menyuburkan budaya intelektual, berdebat mengenai dasar-dasar penting secara sihat, bukan sewenang-wenang buang Buku Jingga dalam tong sampah tanpa membincangkan isi-isinya," kata beliau kepada Harakahdaily hari ini.

Ahmad Maslan bertindak demikian dalam majlis perjumpaan bersama kepimpinan Felda daripada 317 tanah rancangan dekat sini, kelmarin.

Beliau seperti dilaporkan media berkata, tindakan itu dibuat kerana beberapa perkara yang diketengahkan Pakatan Rakyat dalam Buku Jingga tidak berdasarkan maklumat tepat.

Buku Jingga yang mengandungi tawaran 100 hari Pakatan Rakyat sekiranya berjaya menawan Putrajaya antaranya berjanji akan membatalkan Felda Plantations bagi tujuan membuka ladang yang diuruskannya kepada generasi kedua dan ketika Felda.

Mazlan yang juga Pengerusi Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat turut berkata, tindakan Ahmad satu tindakan terdesak dan cemas kerana sokongan peneroka terhadap penyenaraian Felda Global Ventures Holding (FGVH) ke Bursa Malaysia semakin merosot.

"Saya yakin tindakan ini kerana Ahmad terdesak dan cemas kerana semakin ramai peneroka yang tidak menyokong penyenaraian FGVH.

"Tambahan pula mesyuarat agung khas membincangkan perkara ini semakin hampir, jadi Ahmad terpaksa menarik sokongan peneroka," katanya.

Beliau juga mengingatkan Ahmd agar lebih rasional menghadapi perkara ini dan tidak bersikap kebudak-budakan.

"Ahmad sepatutnya kena rasional. Tindakan campak Buku Jingga di hadapan 1,200 ketua peneroka hanya menujukkan wajah dan sikap hodoh beliau," katanya.

Dalam pada itu, Anak akan ke Ibu Pejabat Felda jam tiga petang esok bagi menyerahkan notis kepada Lembaga Pengarah Felda untuk menuntut diadakan mesyuarat agung khas menolak penyenaraian FGVH ke Bursa Malaysia.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: