15 Februari 2012

Pemuda PAS minta Shafie Apdal cermin diri

22 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM, 15 Feb: Dewan Pemuda PAS Selangor menasihatkan pemimpin-pemimpin Umno BN agar cermin diri dahulu sebelum cuba mengajar PAS dan Pakatan Rakyat dalam isu perjuangan Palestin.

Ketuanya, Hasbullah Mohd Ridzwan berkata kenyataan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang dilapor media semalam kononnya BN konsisten menyokong perjuangan rakyat Palestin menentang Israel, hanya 'cuba tunjuk hero'.

Padahal kata Hasbullah, Mohd Shafie perlu sedar bahawa hubungan Umno dan Barisan Nasional dengan Israel bermula sejak tahun 1960 an lagi dengan hubungan dagang dua hala Malaysia Israel pada tahun 1967.

"Pada Mei 1994 Parlimen Malaysia meluluskan Akta Larangan Import (Pindaan bil 7) yang menarik balik sekatan import terhadap barangan Isrel dan Afrika Selatan.

"Pada Mac 1997 pasukan kriket daripada Israel telah diberikan kebenaran oleh Perdana Menteri waktu itu, Dr. Mahathir Mohamad untuk bertanding di dalam kejohanan antarabangsa di Kuala Lumpur dan pada tahun 2008 kerajaan Malaysia telah membayar sebanyak RM 77 juta setahun duit rakyat Malaysia kepada APCO Worldwide, sebuah syarikat perunding dari Israel untuk menaikkan imej Perdana Menteri dan nama Malaysia di mata dunia antarabangsa," katanya sambil mendakwa firma tersebut juga yang mengilhamkan 1Malaysia yang meniru konsep One Israel.

Dengan bukti itu kata Hasbullah, pemimpin Umno BN tidak layak untuk menjadi ‘hero’ dan bercakap tentang perjuangan rakyat Palestin.

Ini kerana katanya, merekalah yang mengkhianati perjuangan tersebut dan membuat hubungan dengan Israel secara ‘gelap’ serta tidak mengiktiraf kerajaan Palestin yang dipimpin oleh Hamas, yang memenangi pilihanraya Palestin secara sah.

Berhubung 'nasihat' Mohd Shafie bahawa lebih baik PAS keluar dari Pakatan Rakyat ekoran permintaan Mursyidul Am PAS Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat semalam supaya Anwar menarik balik kenyataan yang didakwa menyokong Israel atau menyaman Wall Street Journal, Hasbullah berkata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu tidak perlu mengajar PAS.

"Tidak perlu mengajar dan menghasut PAS di dalam membuat teguran dan nasihat kepada rakan-rakan di dalam Pakatan Rakyat.

"PAS akan tetap kukuh dan setia di dalam persepakatan Pakatan Rakyat dan sebarang teguran dan nasihat adalah di dalam semangat muhibbah, tolak ansur dan setiakawan tidak sepertimana Umno dan Barisan Nasional yang berpakat berdasarkan ugut dan ancam," tegasnya.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: