15 Februari 2012

Menyamar wartawan Sinar Harian

22 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

GURUN - Penduduk dan pihak terlibat diminta berwaspada dengan seorang lelaki dipercayai berketurunan India yang menyamar sebagai wartawan Sinar Harian sekitar kawasan ini yang dikesan berurusan dengan jabatan kerajaan menggunakan nama Sinar Harian, kelmarin.

Penyamarannya dikesan setelah lelaki berkenaan menghubungi Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Kuala Muda, Mohamad Md Nor, atas urusan tertentu bersama jabatan berkenaan, kelmarin, hingga menimbulkan kekeliruan.

Mohamad ketika menghubungi Sinar Harian kelmarin meminta pengesahan daripada wartawan Sinar Harian Daerah Yan, Nurliza Elami, berkenaan lelaki terbabit yang memperkenalkan dirinya sebagai Suresh sebagai ketua kepada wartawan Sinar Harian.

“Saya telah dihubungi lelaki berkenaan dan meminta penjelasan mengenai satu perkara berkaitan JKM dan dia telah memperkenalkan dirinya sebagai wakil Sinar Harian di kawasan Gurun.

“Kebetulan saya mengenali wakil Sinar Harian kawasan ini yang selalu berurusan dengan saya sekiranya ada kes berkaitan JKM dan dia memberitahu saya bahawa dia ketua kepada wartawan kawasan berkenaan,” katanya.

Mohamad berkata, kerana dakwaan lelaki berkenaan menimbulkan keraguan, dia terus menghubungi wartawan Sinar Harian untuk mengesahkan mengenai kewujudan lelaki berkenaan sebagai ketua kepada wartawan berkenaan.

Namun wartawan kemudiannya mengesahkan bahawa lelaki berkenaan tidak wujud sebagai ketua wartawan mahupun bekerja dengan Sinar Harian.

“Saya telah menghubunginya berulang kali bagi memastikan perkara terbabit dan saya dapati dia turut memperkenalkan dirinya sebagai wakil Sinar Harian setelah dihubungi staf saya.

“Perkara ini tidak sepatutnya berlaku kerana individu terbabit telah menimbulkan kekeliruan serta menyusahkan pelbagai pihak bagi menyiasat dakwaannya terhadap satu perkara berkaitan JKM sehingga membuatkan pejabat JKM menjadi sedikit kecoh atas perbuatannya itu,” katanya.

Bagaimanapun, usaha wartawan Sinar Harian menghubungi nombor telefon lelaki berkenaan bagi mengesahkan dakwaan terbabit namun tidak dijawab sehingga dia kemudiannya mematikan talian telefon bimbitnya.

Justeru itu, wartawan Sinar Harian telah membuat laporan polis di Balai Polis Gurun, kelmarin, berhubung penyamaran berkenaan supaya lelaki terbabit tidak terus menggunakan nama Sinar Harian untuk kepentingannya pada masa akan datang.

Sinar Harian

Tiada ulasan: