15 Februari 2012

PPR: Surat terbuka untuk Raja Nong Chik

22 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

YM Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin
Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar
Kementerian Wilayah Persekutuan Dan Kesejahteraan Bandar
Aras G-7, Blok 2, Menara Seri Wilayah
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62100 Putrajaya

15 Februari 2012

Skim Pembiayaan Khas Penjualan Program Perumahan Rakyat (PPR) Majlis Tindakan Ekonomi Negara dan Perumahan Awam DBKL (PA DBKL) : Menentukan kaedah pembiayaian terbaik untuk pembeli

Pertama, Pakatan Rakyat ingin menyatakan sokongan penuh terhadap usaha murni skim pembelian rumah mampu milik untuk rakyat berpendapatan rendah, selagi pelaksanaan dibuat secara teratur. Ini jelas dinyatakan di dalam kenyataan akhbar rasmi dan memorandum Pakatan Rakyat kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Tidak timbul persoalan bahawa kami tidak menyokong skim ini.

Kedua, isu dasar bukanlah seperti tuduhan tidak berasas Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar yang mendakwa Pakatan Rakyat tidak yakin dengan kebolehan bakal peminjam untuk membuat bayaran - tetapi isu dasar adalah mengenai sumber dana untuk skim ini yang akan datang dari KWSP.

Kenyataan Menteri mengenai peranan KWSP juga telah menyebabkan timbulnya reaksi meminta penjelasan sepenuhnya bukan sahaja dari Pakatan Rakyat malah dari rakyat, ahli lembaga KWSP, MTUC dan CUEPACS kerana ia melibatkan tabungan simpanan hari tua pekerja; sedangkan sudah ada sumber dana lain yang dapat memberi manfaat kepada semua pihak terutamanya bakal pemilik sendiri.

Maka, Pakatan Rakyat telah meminta dan telah hadir di dalam satu taklimat bersama KWSP di mana beberapa maklumat penting telah didedahkan:
i) tawaran KWSP masih belum diluluskan dan perjanjian belum dimeterai;
ii) pinjaman adalah terus kepada kerajaan dan bukan peminjam;
iii) sebuah institusi kewangan akan diminta menguruskan pentadbiran kredit;
iv) hanya RM300 juta akan diberi untuk tahun pertama dan bukan RM1.5 bilion seperti yang dicanang Menteri.

Ketiga, soal kadar faedah atau kadar keuntungan yang akan dikenakan ke atas pinjaman seperti yang diumumkan Dato Mohd Amin Nordin, Timbalan Ketua Pengarah DBKL (pada 31 Jan 2012) adalah 6.5%, di mana 1% adalah untuk kos perkhidmatan dan 5.5% kepada KWSP.

Pakatan Rakyat berpendapat kadar faedah 6.5% terlalu tinggi; kenapa kadar yang lebih rendah, seperti 2% yang dikenakan kepada pinjaman mudah (soft loan) RM250 juta projek National Feedlot Center (NFC) melibatkan suami dan keluarga salah seorang Menteri dalam kabinet Kerajaan Pusat tidak digunakan?

Kerajaan sepatutnya tidak membezakan di antara kadar faedah pinjaman untuk golongan kaya dengan golongan berpendapatan rendah. Pada kadar 6.5% selama 25 tahun, harga rumah asal RM35,000 mencecah RM70,800, iaitu dua kali ganda harga rumah asal.

Sekirannya kadar 2% digunakan, sama seperti yang diberi oleh kerajaan BN kepada projek NFC, peminjam akhirnya hanya membayar sebanyak RM44,400.

Pemberian kadar faedah yang hanya memihak kepada golongan atasan juga dilihat di dalam projek Lebuhraya Pantai Barat bernilai RM7 billion, di mana pinjaman mudah (soft loan) RM2.24 bilion diberikan oleh kerajaan pusat kepada Kumpulan Europlus pada kadar faedah 4%, termasuk subsidi 3% ke atas pinjaman komersil kumpulan tersebut.

Di mana letaknya pertimbangan untuk membantu golongan berpendapatan rendah secara adil dan saksama?

Keempat, Pakatan Rakyat mencadangkan demi membela penduduk PPR-PA dan menjadikan pemilikan rumah sebagai sumber penjana ekonomi rakyat, satu konsep mudah milik patut dilaksanakan iaitu konsep ‘Sewa Hingga Milik - Tanpa Faedah’ (SHM - TF).

Sebagai contoh harga rumah RM35,000 dengan masa bayaran melalui sewa selama 25 tahun akan menjadikan bayaran bulanan hanya sekitar RM117 tidak termasuk kos penyelenggaraan bangunan. Pendekatan ini bertepatan dengan konsep merakyatkan ekonomi kerana rumah PPR-PA DBKL sudahpun siap dibina serta diduduki manakala kos pembinaannya sudah diambil kira.

Kerajaan juga tidak perlu meminjam daripada KWSP atau institusi kewangan lain. Konsep ini akan juga mengurangkan kos pentadbiran kerana sistem kutipan sewa sedia ada sudah mencukupi. Ini adalah konsep “semua menang - rakyat senang”.

Kelima, untuk memenuhi aspirasi dan membela rakyat berpendapatan rendah, skim memiliki rumah PPR-PA ini juga mestilah diperluaskan kepada semua rakyat di seluruh negara kerana rakyat berpendapatan rendah bukan semuanya tinggal di Kuala Lumpur.

Skim ini mesti memberi peluang kepada semua penyewa tidak kira status ekonomi atau bangsa untuk memiliki rumah yang dapat memberi jaminan tempat tinggal serta menjadi asas membangunkan harta keluarga dengan mudah dan telus.

Keenam, untuk memperkayakan lagi proses demokrasi ‘mengutamakan rakyat’, dicadangkan penduduk PPR-PA diberi peluang melalui satu referendum memilih di antara tiga cadangan:

i) cadangan Kerajaan untuk skim pinjaman tajaan KWSP pada kadar faedah 6.5%;

ii) cadangan untuk skim pinjaman mudah (soft loan) pada kadar faedah ala-‘NFC’ sebanyak 2%; atau

iii) skim Sewa Hingga Milik - Tanpa Faedah.

Pilihan (ii) dan (iii) boleh ditawarkan kerana Menteri telah mengeluarkan kenyataan bahawa Kerajaan memiliki dana mencukupi walaupun keputusan yang beliau ambil adalah untuk menggunakan dana KWSP.

Oleh demikian, Pakatan Rakyat menerima cabaran berdebat yang dikeluarkan Menteri di mana tajuknya hendaklah “Apakah kaedah pembiayaian terbaik untuk Skim Pembiayaian Khas Program PPR-PA?”.

Debat ini juga mesti disiar langsung di kaca televisyen seperti mana debat di antara Ketua Menteri Pulau Pinang dan Presiden MCA akan disiarkan dalam saluran Astro. Ini barulah demokrasi yang berdasarkan keperluan rakyat untuk mendapat informasi telus dan tepat untuk membuat pilihan yang adil.


Nurul Izzah Anwar
Ahli Parlimen Lembah Pantai

Harakah Daily

Tiada ulasan: