05 Mac 2012

Hantar surat kepada PM Israel satu pengiktirafan

12 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 5 Mac: Jika tidak mengiktiraf kewujudan negara Israel, mengapa perlu menghantar surat rasmi kepada negara Yahudi tersebut?

Itu persoalan yang ditimbulkan Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) sejurus kembali ke tanahcair kelmarin terhadap pendedahan tiga surat yang ditulis oleh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kepada perdana menteri negara haram Yahudi tersebut.

“Tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad menghantar surat kepada Perdana Menteri Israel merupakan satu pengiktirafan terhadap negara haram Yahudi tersebut.

Pendedahan tersebut melondehkan hipokrisi dan penipuan Umno terhadap rakyat bahawa kerajaan Malaysia tidak pernah mengiktiraf Israel, kerana penghantaran surat rasmi itu sebenarnya satu pengiktirafan secara langsung ke atas kewujudan negara Israel,” kata Tuan Ibrahim dalam satu kenyataan ringkasnya hari ini.

Katanya, persoalan pengiktirafan terhadap Israel menjadi topik utama apabila beberapa buah negara Islam membantah perjanjian Camp David kerana perjanjian tersebut merupakan satu pengiktirafan kerajaan Mesir kepada negara Yahudi tersebut.

“Walaupun dunia menyedari bahawa wujudnya kerajaan haram Israel, namun apa yang penting menonjol dalam pendedahan surat-surat tersebut ialah kerajaan Malaysia seolah-olah mengakui negara haram ini yang dirampas oleh pendatang haram Israel, dan memaksa rakyatnya menjadi pelarian ini sebagai satu negara yang sah,” terang Tuan Ibrahim, yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

Melalui surat yang dihantar oleh Mahathir dan urus-dagang antara Malaysia dan Israel yang terus berjalan seperti yang didedahkan, kata Tuan Ibrahim telah secara langsung menyinsingkan muka kepura- puraan kerajaan dan sikap berbohongnya terhadap rakyat dalam isu hubungan negara dengan Israel selama ini.

“Mana mungkin seseorang Perdana Menteri boleh menghantar surat kepada Perdana Menteri Israel kalau tidak mengiktiraf negara tersebut. Jawatan yang dipegang kerana adanya negara, maka secara simboliknya penghantaran surat tersebut jelas ialah satu pengiktirafan,” bidas beliau.

Harakah Daily

Tiada ulasan: