05 Mac 2012

Victoria sedia terima pegawai Selangor

12 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 5 Mac: Kerajaan Negeri Victoria, Australia bersedia menerima pegawai-pegawai Selangor bagi mendedahkan mereka kepada cara-cara kerajaan tersebut menyelesaikan masalah-masalah perumahan.

Hasrat itu telah disampaikan oleh Chief of Staff kepada Menteri Perumahan Victoria, Anna Cronin ketika dikunjungi oleh Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan Selangor, Iskandar A. Samad di Melbourne pada 2 Mac lepas.


Menurut Iskandar, Cronin mencadangkan pegawai-pegawai Selangor ditempatkan di jabatan beliau untuk satu jangka masa agar dapat didedahkan kepada cara-cara pelaksanaan agenda-agenda perumahan kerajaan Victoria.


Di dalam kunjungan tersebut, katanya Cronin telah menerangkan polisi-polisi dan program-program perumahan Victoria sementara beliau pula telah turut menerangkan agenda-agenda perumahan Selangor.


Kata Iskandar, di Victoria program untuk menyediakan kediaman yang sempurna bagi golongan muda dan mereka yang hidup melarat tidak hanya terhad kepada menyediakan tempat tinggal tetapi ianya juga meliputi penyediaan bimbingan, latihan kemahiran, kaunseling serta sokongan-sokongan yang lain.

Tambahnya, terdapat satu program khusus untuk golongan muda di sana.

Jelasnya lagi, sewa di perumahan awam yang disediakan kerajaan pula tidaklah sama bagi setiap penyewa.

Perumahan awam itu, ujarnya adalah sama seperti Projek Perumahan Rakyat atau PPR yang ada di Lembah Subang dan Kota Damansara.

“Penyewa di Victoria membayar berdasarkan pendapatan bulanan mereka. Sewa yang ditetapkan adalah 25 peratus dari pendapatan bulanan penyewa.

“Jika pendapatan mereka rendah maka sewa mereka rendah dan jika pendapatan mereka tinggi maka sewa mereka tinggi,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Katanya, Kerajaan Victoria pula tidak masuk campur di dalam pentadbiran perumahan bertingkat atau berstrata.

Di sana, ujarnya penduduk mentadbir pembangunan mereka dengan menubuhkan badan-badan pengurusan seperti di Malaysia.

Walau bagaimanapun, ujarnya pertelingkahan dirujuk terus kepada satu tribunal khas yang akan memutuskan jalan penyelesaian.

Justeru, Iskandar mengalu-alukan cadangan Cronin kerana ia dapat mendedahkan pegawai-pegawai Selangor kepada cara bekerja di sebuah negara yang maju dan yakin pengalaman itu akan memberi sumbangan yang besar kepada usaha untuk menjadikan Selangor bertaraf dunia.

Harakah Daily

Tiada ulasan: