15 Februari 2012

Premis burung walit diroboh

22 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

TRIANG – Sebanyak tujuh premis yang menjalankan aktiviti pengusahaan burung walit dirobohkan penguat kuasa Majlis Daerah Bera (MDB) kerana membuat pindaan struktur dalaman secara haram.

MDB bertindak mengikut Seksyen 79 Akta 133 apabila semua pengusaha terbabit membuat pengubahsuaian alang atau papan sirip dan sekatan dinding dalam premis tersebut.

Operasi itu turut membabitkan kakitangan Jabatan Veterinar Daerah, Ibu Pejabat Polis Daerah, Balai Bomba dan Penyelamat, Tenaga Nasional Berhad dan Unit Tindakan Khas MDB termasuk enam Ahli Majlis.

Ketua Operasi, Afzanizam Mat Datar berkata, notis bertarikh 16 November 2011 diberikan kepada pengusaha terbabit untuk merobohkan atau memindahkan apa-apa binaan atau sekatan tanpa kelulusan dalam tempoh 14 hari.

Menurutnya, namun pengusaha tetap berdegil, malah meneruskan aktiviti seperti biasa sehingga satu lagi notis 24 jam dikeluarkan pada tarikh 3 Februari 2012 untuk memberitahu pemilik premis bahawa MDB akan memasuki premis terbabit dalam tempoh tujuh hari untuk perobohan dalaman.

“Sehingga kini, pemilik langsung tidak tampil menyebabkan MDB tetap melaksanakan operasi merobohkan struktur dalaman premis terbabit. Kita tidak merobohkan seluruh binaan premis, tetapi hanya binaan dalaman kerana tidak mendapat kelulusan MDB,” katanya kepada Sinar Harian.

Afzanizam berkata, pada peringkat awal, pengusaha terbabit menyediakan pelan untuk menjadikan premis rumah kedai dan MDB meluluskan pelan itu.

Katanya, setelah siap, pemilik mengubahsuai binaan dalaman bertujuan menjalankan perusahaan burung walit yang menjanjikan keuntungan berlipat kali ganda.

Menurutnya, keutamaan kerja perobohan itu dilakukan di kawasan berdekatan taman perumahan berikutan pihaknya mendapat banyak aduan daripada penduduk berhampiran.

“Premis ini didirikan di hadapan rumah kebajikan. Sehubungan itu kita menumpukan kerja meroboh kerana tidak mahu perusahaan itu mengganggu ketenteraman mereka.

“Ia bukan permintaan pemilik rumah kebajikan terbabit, tetapi kami mengambil kira soal kebajikan penduduk jika premis itu terletak berdekatan dengan kawasan sekolah dan taman perumahan,” katanya.

Sementara itu Ahli Majlis, Mokhtar Mohd berkata, MDB pertama kali melaksanakan operasi merobohkan binaan dalaman premis burung walit. Katanya, tindakan itu amat wajar dan ia perlu diteruskan pada masa akan datang.

Menurutnya, ia berikutan pengusahaan burung walit sememangnya memberi keuntungan kepada pemilik, namun ia boleh mengganggu ketenteraman penduduk berdekatan.

“Bukan sahaja MDB, malah semua Ahli Majlis turut menerima pelbagai aduan mengenai isu terbabit. Kita bertindak setelah beberapa tindakan MDB tidak diendahkan pemilik. Tambahan pula, kita hanya merobohkan binaan dalaman, sedangkan bahagian luar yang mendapat kelulusan MDB tidak diusik,” katanya.

Bagaimanapun, Mokhtar berkata, MDB terpaksa meminta bantuan bomba untuk memecahkan pintu masuk memandangkan ia dikunci dari luar dan dalam bangunan.

Menurutnya, MDB dan Ahli Majlis juga tidak akan berkompromi dengan pemilik sekiranya mendapat rayuan kerana mereka bertindak mengikut prosedur.

Seorang lagi Ahli Majlis, Mohd Fadzil Saaban berkata, walaupun binaan dalaman dirobohkan, MDB tidak akan mengambil, sebaliknya meninggalkan bahan binaan dalam bangunan terbabit.

“Itu adalah hak pemilik kerana mereka mengeluarkan kos binaan. Kita cuma robohkan sahaja. “Malah jika terdapat anak burung walit, kita akan minta Jabatan Veterinar memindahkannya ke tempat lebih sesuai,” katanya.

Sinar Harian turut mendapatkan penjelasan daripada Pengerusi Persatuan Burung Walit Daerah, Lim Hoo Keong mengenai perkara terbabit.
Hoo Keong berkata, dalam hal itu, persatuan tidak boleh berbuat apa-apa kerana pihaknya hanya mampu menasihati ahli persatuan untuk mengikuti segala syarat ditetapkan pihak berkuasa tempatan.

Menurutnya, hanya 100 daripada lebih 300 premis perusahaan burung walit memohon lesen dengan MDB di daerah ini.

Katanya, selebihnya bukan sahaja menjalankan perusahaan itu secara haram, malah sewenang-wenangnya mengubahsuai binaan dalaman premis tanpa mempedulikan aduan penduduk berhampiran.

“Saya boleh menganggarkan dua premis ini mengalami kerugian bernilai lebih RM70,000. Ia hanya anggaran kerugian binaan dalaman dan tidak termasuk sarang atau burung walit.

“Kebetulan, bangunan ini masih baru dan belum ada burung walit datang ke premis terbabit,” katanya.

Sehubungan itu, Hoo Keong berharap semua pengusaha burung walit mendaftar sebagai ahli supaya sebarang permasalahan boleh dibincangkan selain meminta pengusaha mematuhi syarat ditetapkan pihak berkuasa tempatan.

Sinar Harian

1 ulasan:

hj lutfi bin hj abu hanifah berkata...

Assalamualaikum wbt.

Saya menyokong tindakan yang mengikut prosedur yang telah ditetapkan. Burung walit tidak sepatutnya di umpan kesarang dikawasan perumahan, kehadiran burung menganggu ketenteraman kejiranan tersebut.

Tq