22 Februari 2012

Rokok punca utama COPD

29 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

FIZIKALNYA kelihatan sihat tanpa penyakit kronik yang biasa dialami rakan seusia. Menjangkau usia 66 tahun, dia masih mampu berjalan dan gigih bekerja, namun tiada siapa menyangka di sebalik ‘kekuatan’ itu dia sebenarnya penghidap penyakit sistem pernafasan Chronic Obstructive Pulmonary Disease atau COPD.

Bagi Lau Swe Teng, tabiat merokok yang sukar dikawal sejak zaman remaja punca utama dia disahkan menghidap COPD pada 2001. Biarpun tahu berbahaya, Lau tidak pernah endah nasihat doktor dan keluarganya.

“Saya dan rokok tidak boleh dipisahkan. Jika tiada rokok, hidup tidak lengkap. Keluarga sudah jemu menasihati saya meninggalkan tabiat itu memandangkan usia semakin meningkat.

“Namun ia tidak pernah diendahkan sehingga disahkan menghidap COPD. Ubat pula saya hanya makan ikut keperluan dan tidak mengikut nasihat doktor,” kata bapa kepada dua anak.

Namun, segala-galanya berubah apabila dia dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) selama 10 hari akibat sesak nafas teruk, tahun lalu.

Selepas peristiwa itu, Lau mengambil keputusan berhenti merokok, seterusnya mengamalkan gaya hidup sihat. Lau turut menasihatkan orang ramai menjauhi tabiat merokok kerana boleh mendatangkan banyak penyakit.

“Dulu saya tidak peduli apabila disaran berhenti merokok. Apabila merasai keperitan itu, saya insaf dan lebih menghargai nyawa serta keluarga tersayang.

“Selain merugikan diri, saya menggunakan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk rawatan, sedangkan ia kegunaan masa depan,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran produk kesihatan indacaterol inhalation powder, Onbrez Breezhaler di sebuah hotel di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Lau kini lebih sihat selepas berhenti merokok, apatah lagi dengan bantuan Onbrez Breezhaler yang mudah dibawa ke mana saja. Ia ringan dan boleh didapati di hospital kerajaan.

Onbrez Breezhaler dikatakan satu-satunya rawatan sedia ada pesakit COPD yang menggabungkan ubat bronkodilator secara klinikal dan mampu bertindak dalam lima minit bagi dos pertama.

Kajian menunjukkan Onbrez Breezhaler membantu menenangkan otot di sekeliling ruang udara paru-paru selain terbukti memperbaiki fungsi paru-paru dan melegakan semput pesakit COPD berbanding ubat bronkodilator lain.

COPD adalah penyakit sistem pernafasan yang memerlukan perhatian dalam bidang perubatan. Ia berlaku disebabkan penyem pitan saluran pernafasan yang kronik atau saluran pernafasan terlebih aktif hingga boleh menyebabkan kematian.

Merokok penyebab utama penyakit COPD dan paling kerap menyerang lelaki berbanding wanita, malah ia meningkat seiring usia.

Tanda-tanda awal seseorang dikesan menghidap COPD ialah apabila dia sukar bernafas ketika melakukan aktiviti atau berehat, batuk berkahak berpanjangan, bunyi seperti wisel sewaktu menghembus nafas, paru-paru berair dan bengkak kaki.

Berdasarkan laporan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), pengambilan alkohol dan penggunaan tembakau dikesan menjadi punca utama kematian meningkat mencecah 5.4 juta orang, malah dijangka meningkat lebih lapan juta menjelang 2030.

Golongan yang berisiko mendapat COPD ialah perokok sama ada aktif atau pasif, pencemaran udara, jangkitan virus, pekerjaan, terutama pekerja di kuari atau sentiasa terdedah kepada habuk, dan faktor genetik.

Kosmo

Tiada ulasan: