22 Februari 2012

Guna air curi untuk proses ayam

29 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

NILAI – Tindakan seorang pengusaha sebuah premis memproses ayam di Nilai 3, dekat sini, dikenakan tindakan selepas dikesan membuat penyambungan air haram dalam serbuan, semalam.

Dalam serbuan kira-kira 12 tengah hari itu disertai sepasukan pegawai dan anggota Unit Penguat kuasaan Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) dan Suruhanjaya Perkhid­matan Air Negara (SPAN), diketuai Pegawai Bahagian Hal Ehwal Pengguna, Pengaduan dan Penguat­kuasaan SPAN (BHEPPP SPAN), Mohadir Hid.

Pengurus Khidmat Pelanggan dan Hal Ehwal Awam Sains, Azlan Abdul Aziz berkata, serbuan mengejut terhadap premis berkenaan dijalankan selepas menerima maklumat orang awam.

“Hasil pemeriksaan mendapati pengusaha premis berkenaan melakukan penyambungan tidak sah menggunakan paip bersaiz 12 milimeter, disambungkan secara terus dari paip utama milik Sains.

“Hasil ujian klorin juga menunjukkan air itu adalah air terawat milik Sains,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Menurut Azlan, siasatan lanjut mendapati air di premis berkenaan digunakan bagi memproses 3,000 hingga 4,000 ekor ayam setiap hari.

“Paip terbabit juga disita untuk dijadikan sebagai bahan bukti kes,” katanya.

Menurutnya, pihaknya mengeluarkan notis kesalahan kepada pengusaha terbabit atas kesalahan di bawah Seksyen 89 (9) Akta Industri Perkhidmatan Air Negara (AIPA 2006).

“Mereka boleh dikenakan denda sebanyak RM50,000 atau penjara tidak lebih enam bulan jika sabit kesalahan,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: