22 Februari 2012

Lori tangki bawa muatan petrol terbalik

29 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

LUKUT – Dua beranak yang sedang memasak untuk menyediakan makan tengah hari di bahagian dapur berhadapan detik cemas apabila sebuah lori tangki dengan muatan 21, 840 liter petrol menghempap garaj rumahnya di Kampung Sungai Sendayan kira-kira jam 11.40 pagi, semalam.

Sinar Harian difahamkan kejadian itu berlaku apabila pemandu lori berkenaan yang berusia lingkungan­ 40-an terlepas simpang untuk menghantar minyak ke sebuah stesen minyak di Sendayan jalan Port Dickson-Seremban.

V Tamil Selvi, 35, berkata, selepas terdengar bunyi seperti letupan kuat, dia bersama ibunya berlari keluar.

Menurutnya, mereka sangat terkejut apabila melihat sebuah lori tangki sudah menghempap garaj rumah.

“Ketika itu, saya lihat tangki lori tersebut sudah bocor dan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini, saya meminta bantuan daripada beberapa orang awam yang berada di sebuah kedai makan berhampiran untuk mengalihkan tiga lori serta dua kereta dari halaman rumah.

“Selepas itu, kepulan asap putih keluar dan menyelubungi seluruh kawasan rumah,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Tamil Selvi berkata, ketika itu, dia terdengar pemandu lori berkenaan menjerit meminta tolong sebelum membantunya keluar.

“Pemandu lori itu hanya mengalami luka ringan,” katanya.

Katanya, ini adalah insiden yang pertama kali berlaku dan ia sangat menakutkan mereka sekeluarga.


Hari pertama pemandu lori bekerja

Sementara itu, pemandu lori berkenaan yang tidak mahu dikenali berkata, dia memandu dari Pelabuhan Klang dan keluar di lebuhraya Lukut menuju ke Jalan Sendayan.

Menurutnya, bagaimanapun dia terlepas untuk masuk ke simpang stesen minyak yang dituju dan cuba untuk berpatah balik dengan memasuki jalan kampung di Kampung Sendayan tidak berapa jauh dari stesen minyak itu.

“Keadaan jalan itu berbukit dan saya cuba untuk mengundurkan lori, namun tidak dapat mengawalnya mengakibatkan tayar depan lori termasuk ke dalam longkang sebelum menghempap garaj sebuah rumah yang paling hampir dengan jalan,” katanya.

Difahamkan, semalam adalah hari pertama pemandu lori berkenaan­ bekerja sebagai pemandu lori di syarikat tempatnya bekerja.


Ambil beberapa tindakan

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson, Yahya Jaffar berkata, sejurus menerima panggilan kecemasan, pasukannya bergegas ke lokasi dan beberapa tindakan dilakukan bagi memastikan tumpahan minyak dapat diatasi tanpa sebarang kejadian buruk.

Menurutnya, pihaknya memasang alat penahan yang dikenali sebagai boom untuk menghalang minyak yang tumpah ke longkang daripada terus mengalir ke tempat lain.

“Manakala minyak dari lori tangki tersebut dipindahkan ke sebuah lagi lori selain menabur pasir di atas jalan yang terdapat kesan tumpahan minyak dan meletakan papan tanda larangan merokok.

“Kami juga melakukan semburan­ air ke bahagian tangki lori yang baru semasa pemindahan minyak dilakukan kerana semasa proses berkenaan (pemindahan minyak) dikhuatiri ada penggalak haba,” katanya.

Dalam operasi itu, seramai 20 anggota bomba dan tiga jentera melibatkan Bomba dan Penyelamat Port Dickson dan Seremban 2.

Sinar Harian

Tiada ulasan: