22 Februari 2012

Kenyataan MB Terengganu berniat jahat

29 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU – Dewan Pemuda Pas Negeri Kelantan (DPPNK) menganggap kenyataan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang mendakwa Pas sebagai ‘parti ajaran sesat’ jelas berniat jahat.

Pengerusi Lujnah Dakwah dan Pembelaan Islam DPPNK, Nor Azariza Mohd Alwi berkata, kenyataan yang disiarkan sebuah akhbar harian 9 Februari lalu tidak berfakta dan mengundang provokasi, hasutan, perpecahan masyarakat dan rusuhan rakyat.

“Pas merupakan parti politik berdaftar dengan sah di bawah undang-undang negara sejak lebih 50 tahun lalu dan bersama Pakatan Rakyat sudah mentadbir beberapa negeri seperti Kelantan, Kedah, Terengganu dan Selangor.

”Ini membuktikan bahawa parti Pas diiktiraf dan kenyataan yang dikeluarkan itu langsung tidak bertanggungjawab serta tidak berasas,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu di Pengkalan Chepa dekat sini, semalam.

Katanya, laporan polis dibuat supaya pihak berkenaan membuat siasatan dan mengambil tindakan undang-undang terhadap Ahmad, akhbar yang menyiarkan laporan tersebut serta pihak lain yang terlibat dalam mengeluar, mencetak, menerbit dan mengedarkan fitnah tersebut.

Ahmad ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Rakyat 1Malaysia di Kijal, Terengganu dilaporkan berkata, perjuangan Pas kini tersasar jauh daripada perjuangan Islam sebenar dan menyifatkan Pas sebagai ‘parti ajaran sesat’.

Sinar Harian

Tiada ulasan: