29 Mac 2012

Pemandu van tersepit 15 minit

6 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

TANAH MERAH - Pemandu van terpaksa bertarung nyawa berikutan tersepit hampir 15 minit, apabila kenderaan yang dinaiki bersama dua anaknya bertembung dengan treler di kilometer 79.5 Jalan Kota Bharu-Machang-Jeli dekat Bukit Bunga, jam 4.30 petang kelmarin.

Mangsa, Rashid Hassan, 42, yang tersepit kemudiannya dikeluarkan orang awam, patah paha, betis kanan dan cedera di kepala manakala dua anaknya hanya mengalami cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Abdul Aziz Mahmud berkata, mangsa yang berasal Jedok kemudian dihantar ke Hospital Jeli sebelum dirujuk ke Hospital Tanah Merah untuk rawatan susulan, dan dua anaknya turut dihantar ke hospital­ sama hanya menerima rawatan pesakit luar.

Menurutnya, ketika kejadian van tersebut dalam perjalanan dari arah Tanah Merah menuju ke Jeli merempuh treler yang tiba-tiba terbabas di lorong bertentangan.

“Akibat rempuhan itu, van mangsa remuk teruk di bahagian depan sebelah kanan yang menyebabkan pemandu itu tersepit di tempat duduknya.

“Semasa kemalangan, dipercayai treler terbabit cuba untuk mengelak sebuah kenderaan lain yang berhenti dibahu jalan menyebabkannya terbabas ke laluan bertentangan­ sebelum bertembung dengan van tersebut,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Katanya, pemandu treler dan dua kelindannya tidak mengalami sebarang kecederaan, dan kes tersebut disiasat bawah seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Abdul Aziz juga menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika memandu.

“Jaga jarak kenderaan anda, pastikan jangan berhenti sesuka hati dan semua pengguna perlu peka keadaan lalu lintas semasa, bagi mengelak daripada berlakunya kemalangan,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: