05 April 2012

Dua rakan didakwa menipu bank guna kad kredit

13 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

GEORGETOWN - Dua rakan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tuduhan menipu bank menerusi transaksi kad kredit, tahun lalu.

Willam Oon Yeow Loon, 28, dari Jalan Perak di sini dan Ang Terng Fong, 29, dari Lengkok Halia Lebuhraya Halia, di sini, mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan menipu bank menggunakan kad kredit.

Mengikut pertuduhan pertama, mereka didakwa bersama-sama menipu Standard Chartered Bank dengan memperdayakan dan mendorong menyerahkan RM30,000 menerusi satu transaksi kad kredit miliki bank berkenaan atas nama orang lain iaitu Toh Beng Leong, 42 tahun.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Kedai Gemas Tower, Jalan Dr Lim Chwee Leong, Prangin Mall, di sini, kira-kira jam 2.18 petang, 31 Oktober lalu.

Pertuduhan kedua, Yeow Loon dan Terng Fong didakwa kesalahan sama yang melibatkan transaksi kad kredit sebanyak RM5,273 miliki bank berkenaan miliki Beng Leong.

Kesalahan itu, didakwa dilakukan di tempat yang sama, kira-kira jam 7.15 petang, 6 Disember lalu.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, Timbalan Pendakwa Raya, Sariza Ismail mengemukakan pertuduhan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Jika sabit kesalahan, dua rakan itu bakal berdepan dengan hukuman penjara maksimum 10 tahun, denda dan sebat.

Terdahulu, Hakim Sitarun Nisa Abdul Aziz membenarkan Yeow Loon dan Terng Fong diikat jamin RM25,000 setiap seorang.

Beliau menetapkan 2 Mei ini untuk sebutan semula dan untuk serahan dokumen.

Sinar Harian

Tiada ulasan: