05 April 2012

Maut ditekup bantal

13 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

ALOR GAJAH - “Saya lihat plastik berisi kuih masih tergantung di pagar kawasan rumah menyebabkan saya rasa tidak sedap hati,” kata Abd Ghafar Daud, 57.

Abd Ghafar adalah anak kedua kepada seorang warga emas yang ditemui mati, dipercayai lemas akibat mukanya ditekup dengan bantal di Kampung Ramuan China Kechil, Lubok China, di sini semalam.

Abd Ghafar berkata, biasanya dia akan menghantar sarapan pagi untuk ibunya, Sareah Abdul Rahman, 78, dengan menggantungkan plastik berisi makanan di pagar rumah dan ibunya akan mengambilnya sendiri.

“Pagi tadi (semalam) saya hantar sarapan pagi kira-kira jam 7.30 pagi sebelum pergi kerja.

“Kira-kira setengah jam selepas itu, saya berpatah balik melalui jalan di hadapan rumah emak tetapi saya hairan melihat plastik berisi kuih masih lagi tergantung menyebabkan saya tidak sedap hati dan mengesyaki sesuatu,” katanya.

Menurutnya, dia segera masuk ke dalam rumah dan mendapati pintu terbuka sedikit sebelum melihat mangsa terbaring kaku atas katil di bilik belakang dengan keadaan muka ditekup dengan bantal yang dialas dengan kain selimut.

“Saya terkejut lihat keadaan emak dan terdapat juga kesan darah di hidungnya.

“Lebih menyayat hati, urat tangan emak kelihatan timbul, mungkin kesan daripada cubaan­nya mahu melepaskan diri,” katanya.

Abd Ghafar berkata, kea­daan bilik juga berselerak dan dompet milik emaknya turut diselongkar.

“Terdapat juga beberapa keping sampul duit raya bertaburan atas lantai bilik.

“Malah selepas diperiksa, pintu bahagian belakang rumah juga ada kesan diumpil,” katanya.

Menurutnya, berikutan itu, dia segera menghubungi polis memaklumkan kejadian berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superitendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin berkata, mangsa dipercayai lemas selepas mukanya ditekup dengan bantal.

Menurutnya, tiada kecederaan serius pada badan mangsa, namun terdapat darah keluar daripada hidung dipercayai akibat pergelutan.

“Siasatan awal mendapati, kali terakhir mangsa dilihat berada di rumah adalah sekitar 3.30 petang kelmarin (Selasa).

“Polis akan menjalankan siasatan terperinci untuk memastikan sama ada keja­dian ini melibatkan rompakan,” katanya.

Umar Ali Saifuddin berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk dibedah siasat.

Sehubungan itu katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah menerusi talian 06-5562222 untuk membantu siasatan.

sinar harian/-

Tiada ulasan: