05 April 2012

FAM: Pemuda PAS simpati Annuar Musa digantung

13 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK) melahirkan simpati terhadap nasib yang menimpa Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Annuar Musa yang digantung selama dua tahun enam bulan dari terbabit dalam aktiviti sukan bola sepak di negara ini sama ada di peringkat kebangsaan mahu pun di peringkat negeri.


Beliau dikenakan tindakan demikian setelah Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mendapati beliau bersalah membuat kenyataan media tanpa izin dan melanggar arahan mesyuarat.

DPPNK secara dasarnya menghormati keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selaku badan induk tertinggi sukan bola sepak Malaysia itu namun di dalam masa yang sama melihat bahawa keputusan ini merupakan satu kerugian kepada sukan bola sepak negara.

Ini kerana beliau dilihat sebagai seorang individu yang berpotensi untuk memajukan sukan bolasepak tanah air sebagaimana yang dilakukan oleh beliau di Kelantan selaku Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA).

Rakyat tentunya amat kecewa sekiranya ada unsur politicking di dalam keputusan ini. DPPNK sejak dulu lagi menentang sebarang unsur mempolitikkan sukan khususnya bola sepak yang diminati ramai dalam apa jua bentuk sekalipun.

Justeru, DPPNK satu ketika dulu mengecam tindakan mengarak Piala Malaysia yang dimenangi oleh pasukan Kelantan pada tahun 2010 ke kawasan pilihanraya kecil DUN Galas untuk kepentingan politik pihak tertentu.

DPPNK amat berharap agar kemelut pergantungan yang melibatkan Tan Sri Annuar Musa ini dapat dijernihkan. Sesungguhnya, pergantungan beliau merupakan satu kerugian yang besar kepada bola sepak negara khususnya negeri Kelantan.

Kepada Tan Sri Annuar Musa, DPPNK ucapkan semoga bersabar dan menempuhi saat-saat ini dengan tenang dan tabah.

Ahmad Najib Deris,
Pengerusi Bahagian Sukan, Seni dan Budaya (DACS)
Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan.

Harakah Daily

Tiada ulasan: