05 April 2012

Miliki dadah di kandang kambing

13 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU – Seorang penganggur dijatuhi hukuman tiga tahun penjara selepas didapati bersalah memiliki dadah di kawasan kandang kambing di Jalan PCB di sini, dua bulan lalu.

Hukuman terhadap Ariffin Hussin, 44, dibuat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 12(3) akta sama.

Berdasarkan pertuduhan pindaan dihadapinya, dia mengaku bersalah memiliki 1.42 gram dadah heroin di kawasan kandang belakang sebuah rumah di Kampung Kijang, Jalan PCB di sini, pada jam 6 pagi, 5 Februari lalu.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh ditahan ketika sedang tidur di atas buaian yang digantung pada pokok dan pemeriksaan tubuh menjumpai dadah berkenaan di dalam sebuah beg.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Noor Dayana Mohamad di hadapan Majistret Mohd Fazaly Ali Mohd Ghazaly.

Dalam perkembangan sama, tertuduh turut dijatuhi hukuman lapan bulan penjara selepas didapati bersalah memiliki 0.19 gram dadah metamphetamine pada jam, tarikh dan lokasi yang sama.

Mohd Fazaly Ali mengarahkan kedua-dua hukuman berjalan serentak.

Sinar Harian

Tiada ulasan: