05 April 2012

Sebuah kereta terjunam ke dalam Selat Tebrau

13 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

JOHOR BAHRU – Sebuah kereta jenis Perodua Myvi terjunam ke laut Selat Tebrau berdekatan dengan Tambak Johor, di sini, selepas hilang kawalan dan dipercayai bergesel dengan sebuah bas.

Kenderaan terbabit yang dipercayai dipandu laju turut melanggar tembok konkrit yang berdekatan.

Bagaimanapun, pemandunya, Mohd Amin Miran, 31, dari Pekan Nenas, Pontian bernasib baik kerana sempat berenang ke tebing menyelamatkan diri sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini, dan menerima rawatan sebagai pesakit luar.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Johor Bahru, M Vijayan berkata, pihaknya menerima panggilan dan maklumat mengenai kemalangan tersebut kira-kira jam 10.25 pagi.

“Kira-kira jam 10.35 pagi, seramai 16 anggota dari jentera Balai Bomba dan Penyelamat Johor Bahru termasuk tujuh anggota dari unit skuba tiba ke tempat kejadian.

“Dua kren juga digunakan bagi mengeluarkan kereta tersebut yang tenggelam sedalam kira-kira tiga meter.

“Pemandu kereta terbabit berjaya menyelamatkan diri dan hanya cedera ringan di tangannya. Operasi tamat kira-kira 12.45 tengah hari,” katanya kepada Sinar Harian.

Kejadian terbabit turut mengakibatkan kesesakan jalan raya sejauh 300 meter selama kira-kira dua jam.

Sinar Harian

Tiada ulasan: