05 April 2012

Murtad: Mapim sambut baik kesediaan Selangor

13 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 5 April: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menyambut baik kesediaan Kerajaan Negeri Selangor menyiasat aduan kes murtad.

“Tindakan ini adalah wajar memandangkan isu ini menjadi perhatian yang amat sensitif dikalangan umat Islam,” Setiausaha Agungnya, Mohd Azmi Abdul Hamid (gambar).

Katanya, aduan yang dilaporkan mengenai wujudnya pihak yang telah memurtadkan orang Islam perlu diambil tindakan tegas jika benar mempunyai bukti yang kukuh.

Tegasnya, Mapim berpendirian bahawa soal murtad bukan sahaja soal pelanggaran undang-undang negara, malah ia adalah soal maruah agama dan kemuliaan hukum Allah.

“Keputusan Kerajaan Selangor menubuhkan jawatankuasa khas adalah wajar agar pemantauan dan tindakan dapat diambil dengan tepat berdasarkan undang-undang yang wujud,” katanya kepada Harakahdaily.

Sehubungan itu, ujarnya Mapim menggesa umat Islam perlu peka dengan kelemahan dan kecuaian yang telah lama menjangkiti mereka akibat leka dengan kehidupan materialistik sehingga pihak lain mengambil kesempatan untuk mengubah pegangan Islam yang dianuti selama ini.

Beliau berkata, agenda pihak tertentu yang mahu menggugat aqidah umat Islam akan dapat dikekang jika peruntukan undang-undang dikuatkuasakan dan pendidikan diperkukuhkan.

Di samping itu, kata beliau semua agensi agama Islam semada agensi kerajaan mahupun bukan kerajaan perlu diperkasa supaya program pengukuhan aqidah dapat dilaksanakan dengan lebih dinamik dan kreatif.

Katanya, kesungguhan pihak lain berperanan untuk menghulurkan bantuan dan menangani keperluan mereka yang menghadapi kesempitan hidup menunjukkan betapa kesalahan harus juga diletakkan ke atas agensi-agensi Islam yang bertangunggjawab.

“Mapim menegaskan bahawa selagi pihak berkuasa dan pelbagai badan dakwah gagal bekerjasama untuk mengukuhkan pendidikan penghayatan Islam di kalangan masyarakat selagi itu umat Islam akan terdedah kepada gugatan aqidah,” ujarnya lagi.

Menurutnya, sudah sampai masanya setiap institusi Islam di peringkat akar umbi seperti masjid dan surau bertindak lebih bersungguh mendidik anak qaryah masing-masing agar kefahaman dan penghayatan Islam disemarakkan.

Harakah Daily

Tiada ulasan: