20 April 2012

Ameerah gesa polis siasat dalang serang siswa

28 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Ameerah Dewan Muslimat PAS Pusat mahu pihak polis menyiasat siapa dalang disebalik serangan terhadap mahasiswa yang berkhemah di Dataran Merdeka awal pagi semalam.

Sambil mengecam tindakan samseng itu, pengerusinya Fareedah Samad berkata, mereka yang bertanggungjawab dalam serangan itu harus dikenakan tindakan tegas agar kejadian serupa tidak berulang.

"Ameerah sekali lagi menggesa pihak Polis Di Raja Malaysia untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh berkaitan kumpulan samseng ini termasuklah individu yang terlibat, master mind di belakang kumpulan ini dan pihak yang memberi jaminan keselamatan kepada mereka.

"Ameerah juga mahu pihak polis segera mengambil tindakan yang tegas ke atas kumpulan samseng tersebut ini bagi mencegah kejadian yang lebih buruk berlaku pada masa akan datang," katanya dalam satu kenyataan.

Dalam insiden pagi semalam itu seorang siswa dilaporkan cedera apabila kumpulan mereka yang berkhemah di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur diserang sekumpulan lelaki yang didakwa 'samseng'.

Kumpulan itu mengepung pelajar di tapak khemah tersebut dan mula mengganggu serta mengasari dan merobohkan khemah mereka kira-kira jam 2.45 pagi.

Pelajar yang mengalami kecederaan itu dilaporkan dibawa ke hospital dengan ambulans.

Menurut Fareedah lagi, lebih dikesali dalam insiden itu apabila samseng terbabit didakwa turut menyepak kepala seorang siswi.

"Provokasi melampau ini dilihat sebagai kelakuan yang amat tidak bermoral dan dikhuatiri akan berulang sekiranya tiada sebarang tindakan tegas yang diambil terhadap mereka.

"Mereka hanya berhimpun secara aman di Dataran Merdeka tanpa mengganggu orang sekeliling. Mereka hanya tidur di dalam khemah secara tertib jauh sekali untuk melakukan aktiviti yang tidak sihat seperti merempit dan sebagainya," katanya lagi.

Harakah Daily

Tiada ulasan: