20 April 2012

Kekalkan perpaduan PR Sarawak

28 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

Kuching – Timbalan 1 Persuruhjaya PAS Sarawak, Cikgu Mohamad Shokri bin Hj. Ahmad Fauzi meminta semua pihak terutama ahli-ahli dan penyokong Pakatan Rakyat agar bekerja dari sekarang bagi menguatkan parti dan menarik seramai mungkin pengundi untuk memastikan Pakatan Rakyat (PAS, Parti Keadilan, DAP) menang besar pada pilihan raya 13 di negeri ini.

Beliau yang juga Timbalan YDP PAS Kawasan Petra Jaya berkata, keupayaan Pakatan Rakyat memenangi seberapa banyak kerusi Parlimen perlu menjadi kenyataan disamping mengekalkan kerusi parlimen yang telah dimenangi.

“Kita perlu bekerja bersungguh-sungguh, kita mahu jumlah kerusi yang dimenangi bertambah. Pada pilihan raya yang lalu Pakatan Rakyat (DAP) cuma menang satu kerusi di bandar Kuching, manakala satu lagi kerusi dimenangi juga oleh DAP melalui ‘By-Election’ di bandar Sibu. PAS tidak meletakkan calon pada pilihan raya parlimen 2008, tetapi pernah bertanding pada pilihan raya 2004. Manakala parti Keadilan belum meraih kemenangan.” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan mesyuarat Dewan Harian PAS di markas Perhubungan PAS di Lorong 4, Taman Matang Jaya, di Kuching semalam.

“PAS sudah mendapat tempat di hati rakyat Sarawak yang berbilang bangsa dan agama. PAS cukup selesa untuk berbanga bahawa ia berjaya membina jaringan perjuangannya yang UMNO sendiri dihalang daripada bertapak di Sarawak oleh rakan Barisan Nasional nya sendiri. Hebat UMNO tidak mengalahkan hebat PAS pun.” tambahnya.

Shokri juga berharap agar ahli-ahli dan para penyokong PAS, parti Keadilan dan DAP berganding bahu dan elakkan perkara yang boleh dijadikan Barisan Nasional modal untuk melemahkan Pakatan Rakyat, bersungguh-sungguhlah dari sekarang bagi merealisasikan sasaran. DAP telah membuktikan kesungguhan mereka dengan kemenangan besar pada pilihan raya negeri (DUN) baru-baru ini. Bagi PAS kita sudahpun mengerah ahli-ahli dan penyokong untuk mengundi mana-mana calon yang ditandingi oleh Pakatan Rakyat pada pilihan raya 13 nanti.

Sementara itu, Pesuruhjaya PAS Sarawak, Hj. Adam Ahid memberitahu PAS Sarawak akan mengadakan perasmian premis Markas PAS Sarawak pada hari Ahad ini, 22 April 2012, jam 9.00 malam, di Lorong 4, Taman Matang Jaya. Orang ramai adalah dijemput datang untuk menyaksikan upacara ini. Beberapa orang pimpinan kanan PAS Pusat akan hadir untuk merasmikannya.

Beliau berharap markas milik PAS Sarawak ini mampu menyuntik semangat ahli-ahli PAS di seluruh Sarawak. Beliau juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak, ahli-ahli dan penyokong PAS, rakan-rakan PAS di seluruh negeri di Semenanjung Malaysia serta individu-individu yang telah memberi sumbangan dengan wujudnya markas ini.

Tiada ulasan: