20 April 2012

Pegawai polis didakwa terima rasuah

28 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

BUTTERWORTH - Seorang pegawai polis berpangkat Cif Inspektor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menerima rasuah wang tunai berjumlah RM300, tahun lepas.

Nazri Ismail didakwa melakukan kesalahan itu di bilik ketua Balai Polis Machang Bubuk dalam daerah Seberang Perai Tengah (SPT) telah menerima RM300 daripada M. Kumaran, pada 7 Okt 2011.

Dia dituduh mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. Hakim Ikmal Hishan Mohd Tajuddin membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 25 Mei depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Firdaus Sekman manakala tertuduh diwakili peguam bela Rosli Ismail. -- Bernama

Sinar Harian

Tiada ulasan: