20 April 2012

Fatwa: Peguam Muslim setuju tindakan Kedah

28 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) bersetuju dengan tindakan Kerajaan Negeri Kedah yang meluluskan pindaan undang-undang untuk menghalang fatwa yang diputuskan mufti atau jawatankuasa fatwa, sama ada diwartakan atau tidak, daripada dicabar, dirayu, disemak mahupun dipersoal dalam mahkamah sivil atau syariah.

Presidennya, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar (gambar) berkata, peruntukan dalam Rang Undang-undang Mufti dan Fatwa (Kedah) (Pindaan) 2012 itu dibentangkan dalam sidang DUN Kedah bagi menggantikan Enakmen Mufti dan Fatwa (Kedah Darul Aman) 2008 (Enakmen 10) dengan memasukkan Fasal 22A yang berbunyi ‘Walau apapun undang-undang bertulis atau rukun undang-undang yang berlawanan, fatwa yang telah diputuskan oleh mufti atau Jawatankuasa Fatwa samada diwartakan atau tidak hendaklah dipatuhi dan tidak boleh dicabar, dirayu disemak dinafikan atau dipersoal dalam mana-mana mahkamah sivil atau syariah.’

Beliau berkata, tindakan tersebut hanyalah merupakan suatu penegasan semula tentang kedudukan Mufti di sisi undang-undang.

Katanya, ia juga selaras dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di dalam kes ESQ mlwn Mufti Wilayah Persekutuan yang memutuskan fatwa mufti tidak boleh dicabar di mahkamah sivil.

“Malah di dalam kes Mahkamah Persekutuan iaitu Sulaiman Takrib mlwn Kerajaan Negeri Trengganu Mahkamah Persekutuan memutuskan institusi kemuftian ini adalah sah disudut Perlembagaan Persekutuan dan tidak langsung bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Berikut adalah kenyataan penuh beliau.

Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) bersetuju dengan tindakan Kerajaan Negeri Kedah yang meluluskan pindaan undang-undang untuk menghalang fatwa yang diputuskan mufti atau jawatankuasa fatwa, sama ada diwartakan atau tidak, daripada dicabar, dirayu, disemak mahupun dipersoal dalam mahkamah sivil atau syariah.

Peruntukan dalam Rang Undang-undang Mufti dan Fatwa (Kedah) (Pindaan) 2012 itu dibentangkan dalam sidang DUN Kedah bagi menggantikan Enakmen Mufti dan Fatwa (Kedah Darul Aman) 2008 (Enakmen 10) dengan memasukkan Fasal 22A yang berbunyi ‘Walau apapun undang-undang bertulis atau rukun undang-undang yang berlawanan, fatwa yang telah diputuskan oleh mufti atau Jawatankuasa Fatwa samada diwartakan atau tidak hendaklah dipatuhi dan tidak boleh dicabar, dirayu disemak dinafikan atau dipersoal dalam mana-mana mahkamah sivil atau syariah.’

Tindakan tersebut hanyalah merupakan suatu penegasan semula tentang kedudukan Mufti di sisi undang-undang. Ia juga selaras dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di dalam kes ESQ mlwn Mufti Wilayah Persekutuan yang memutuskan fatwa mufti tidak boleh dicabar di mahkamah sivil. Malah di dalam kes Mahkamah Persekutuan iaitu Sulaiman Takrib mlwn Kerajaan Negeri Trengganu Mahkamah Persekutuan memutuskan institusi kemuftian ini adalah sah disudut Perlembagaan Persekutuan dan tidak langsung bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Seksyen 7(1) Enakmen Mufti Dan Fatwa (Negeri Kedah) 2008 menyatakan Mufti hendaklah membantu dan menasihati Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan berkenaan semua perkara Hukum Syarak dan dalam semua perkara sedemikian hendaklah menjadi pihak berkuasa utama di Negeri Kedah Darul Aman selepas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan kecuali jika diperuntukkan sebaliknya dalam Enakmen tersebut.

Sekyen 7(2) pula menyatakan Mufti hendaklah bertanggungjawab terus Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan dan Baginda bolehlah dari masa ke semasa memberi perintah sama ada secara am atau khas yang Baginda fikirkan perlu atau bermanfaat iaitu perintah yang tidak berlawanan dengan peruntukan Enakmen ini dan adalah menjadi kwajipan Mufti mematuhi dan melaksanakan perintah itu.

Manakala Seksyen 8(1) menyebut Mufti hendaklah berkuasa mengeluarkan apa-apa fatwa. Seksyen 8(2) pula menyatakan walau apapun peruntukan Enakmen ini Mufti boleh sekira difikirkan perlu berbincang dengan Jawatankuasa Fatwa sebelum mengeluarkan apa-apa fatwa di bawah seksyen ini.

Berdasarkan seksyen-seksyen yang disebut di atas adalah amat jelas Mufti adalah pihak berkuasa utama dalam hal ehwal hukum syarak selepas Sultan. Dalam hal demikian adalah amat tidak wajar fatwa mufti boleh dicabar di mahkamah sama ada mahkamah sivil ataupun mahkamah syariah. Ini adalah bagi menjaga kehormatan terhadap institusi kefatwaan tersebut. Sayugia diingatkan bahawa Jawatankuasa Fatwa terdiri dari pakar-pakar agama dan mereka juga boleh menjemput orang lain yang pakar dalam bidang masing-masing untuk memberi nasihat kepada Jawatankuasa Fatwa dalam hal-hal tertentu berbanding dengan mahkamah yang mendengar sesuatu kes secara adversarial sahaja.

PPMM amat tidak bersetuju dengan pandangan yang mendakwa tindakan Kerajaan Negeri Kedah ini menyamakan fatwa seperti nas qat'i (nas yang putus) dalam Quran dan Sunnah sehingga tidak boleh dipertikaikan yang mengakibatkan terbunuhnya intelektualisme rakyat. Ini adalah disebabkan bahawa sesuatu fatwa masih boleh dipinda atau dibatalkan sebagaimana yang dinyatakan di dalam seksyen 23(1) Enakmen yang sama yang menyatakan Jawatankuasa Fatwa boleh meminda atau membatalkan mana-mana fatwa yang telah disiarkan di dalam Warta di bawah Enakmen tersebut.

Ia bermakna seseorang yang tidak berpuashati dengan sesuatu fatwa masih boleh merujuk kepada Jawatankuasa Fatwa memohon meminda atau membatalkan sesuatu fatwa. Ia akan dilakukan dalam suasana muzakarah dengan Jawatankuasa Fatwa yang berkuasa menentukan kaedahnya. Adalah amat tidak logik jika fatwa tersebut boleh dicabar di mahkamah kerana pendekatan di mahkamah adalah untuk berlitigasi dan bukan bermuzakarah. Mahkamah Hakim Mahkamah Sivil pula langsung tidak terlateh di dalam Hukum Syarak manakala Hakim Mahkamah Syariah pula tidak dilatih dalam metodologi ifta’.

Fatwa masih boleh dikaji dengan bermuzakarah semula dengan Jawatankuasa Fatwa. Dengan semangat muzakarah ini suatu keputusan itu akan lebih dekat kepada Hukum Syarak berbanding jika ianya dibawa ke mahkamah. Dalam masa yang sama PPMM bersependapat dengan pandangan Mufti Negeri Perlis Dr Juanda Jaya yang menyarankan perlu ada keterbukaan dalam membuat sesuatu fatwa dan pada masa yang sama kita tidak boleh menafikan peranan ulil amri (pemerintah) mentarjih bagi memilih apa-apa pandangan.

Jika dibaca keseluruhan Enakmen Mufti Dan Fatwa (Negeri Kedah) 2008 ia sebenarnya meraikan pelbagai pandangan yang berbeza dan sesuatu fatwa itu masih bersifat anjal kerana ia masih boleh dipinda. PPMM juga mengingatkan peranan fatwa bukanlah menentukan perkara yang sudah bersifat definitive (atau sudah putus) tetapi hanya di dalam perkara spekulatif sahaja (iaitu perkara yang belum diputuskan dengan nas yang qatie).

PPMM juga menggesa institusi mufti dan kefatwaan ini diperkasakan dengan memberi kuasa kepada mufti untuk memberi nasiat dan membuat teguran kepada mana-mana pihak, mempertingkatkan keupayaan dan prasarana institusi fatwa, membebaskan Mufti dari sebarang tekanan dan pengaruh politik atau individu tertentu. Bagi mempastikan kewibawaan institusi ini terus terpelihara, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telahpun menetapkan halatuju yang sistematik melalui penggubalan bersama Pelan Strategik Jabatan-Jabatan Mufti Seluruh Malaysia 2010-2014 bagi memikul tanggungjawab menguruskan hal ehwal Islam dalam negara termasuklah mengadakan undang-undang khusus dan seragam untuk Mufti dan Pengurusan Fatwa.

Berbalik kepada isu yang dibicarakan di atas, PPMM sekali lagi menzahirkan sokongan kepada Kerajaan Negeri Kedah meminda Enakmen Mufti dan Fatwa (Negeri Kedah ) 2008 dan menegaskan jika ada mana-mana orang yang tidak bersetuju dengan mana-mana fatwa, mereka bolehlah berhujah secara muzakarah dengan Jawatankuasa Fatwa dan bukan mencabarnya di mana-mana mahkamah.

Harakah Daily

Tiada ulasan: