20 April 2012

Jangan sampai dunia lihat militia serang rakyat

28 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Negara ini akan mendapat imej yang buruk di kaca mata dunia apabila pemimpin negara dilihat membenarkan wujudnya kumpulan militia menyerang rakyat sendiri seperti yang dilihat pernah berlaku di Libya dan kini di Syria.

Justeru, Teras Pengupayaan Melayu (Teras) mengutuk kejadian biadap oleh sekumpulan orang yang dibiar mengganasi pelajar yang berkhemah di Dataran Merdeka dua malam yang lalu.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, kejadian yang berlaku secara terang-terangan di hadapan pihak polis menyebabkan negara ini tidak boleh dianggap negara yang selamat.

Katanya, sudah pasti insiden tersebut kini dapat dilihat sendiri oleh pelancong dari luar dan dengan itu gambaran negara ini sebagai negara yang aman adalah indah khabar dari rupa.


Beliau menambah, Teras percaya pelajar yang kini lebih berani menyatakan sikap dan bertindak berkhemah di Dataran Merdeka secara aman seharusnya dilihat sebagai kesungguhan dan keazaman mereka memperjuangkan isu yang dekat dengan masa depan mereka dan generasi akan datang.


“Tuntutan mereka adalah jelas. Mereka percaya pendidikan percuma boleh dilaksanakan di negara ini dengan uruskelola kewangan negara yang telus dan bertanggungjawab,” ujarnya dalam satu kenyataan.


Katanya, Teras kesal dengan respons Menteri Pendidikan Tinggi berhubung insiden tersebut.

Katanya, sikap bebal dan sangat tidak matang menunjukkan menteri berkenaan tidak layak memegang mandat sebagai menteri apabila berhadapan dengan tuntutan pelajar.

“Dengan mengeluarkan kenyataan pedas terhadap pelajar yang diserang oleh sekumpulan gangster di hadapan orang ramai dan disaksi oleh pihak polis sendiri adalah suatu kenyataan yang menunjukkan mentaliti yang sama dengan penyerang itu sendiri,” ujarnya.

Justeru, ujarnya Teras menuntut pihak polis menyiasat dan bertindak ke atas kumpulan ganas yang menyerang pelajar yang berkenaan.

Dalam pada itu, beliau berkata, adalah munasabah jika pihak kerajaan mengadakan dialog dengan pelajar dan mendengar dengan jujur bahawa suatu alternatif boleh dicapai dalam isu pembiayaan pendidikan tinggi di negara ini.

Sehubungan itu, kata Mohd Azmi pihaknya mendesak agar pihak kerajaan mengadakan dialog dengan pelajar untuk mendengar tuntutan mereka mengenai isu pendidikan tinggi percuma.

Harakah Daily

Tiada ulasan: