20 April 2012

Tampal poster Besih 3.0 dalam USM: Aktivis Suaram ditahan

28 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Seorang aktivis muda Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Tan Hong Kai ditahan ketika memasang poster Bersih 3.0 di dalam kawasan Universiti Sains Malaysia (USM) awal pagi tadi.

Difahamkan dalam kejadian kira-kira jam 3.15 pagi, Hong Kai bersama beberapa aktivis mahasiswa USM masuk ke kampus itu untuk menampal poster Bersih 3.0.

Selepas selesai menampal beberapa poster itu, beliau terserempak dengan pihak keselamatan universiti itu lalu menahan beliau.

Beliau kemudiannya diserahkan ke balai polis Sungai Nibong kira-kira jam 4 pagi.

Menurut ahli sekretariat Suaram Pulau Pinang Ng Eng Kiat, Hong Kai kemudiannya disoal siasat dan kini masih ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, Jalan Patani.

Juga difahamkan Hong Kai disiasat di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh.

"Kita mendesak agar Hong Kai dibebaskan segera. Keterangannya sudah diambil dan tiada sebab untuk beliau terus ditahan.

"Jika samseng menyerang mahasiswa di Dataran Merdeka tidak ditahan, tak ada sebab kenapa seorang aktivis ditahan hanya kerana menampal poster," katanya kepada Harakahdaily.

Satu sidang media turut diadakan oleh Suaram Pulau Pinang berhubung perkara itu pagi tadi.

Harakah Daily

1 ulasan:

syah berkata...

tampal poster bersih...dah USM jadi kotor...