20 April 2012

Ikhwan minta PAS kerja keras terajui perubahan

28 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KAHERAH: Murshid-Am Ikhwan Muslimin, Dr. Mohamed Al-Badie’ berkeyakinan bahawa kepimpinan PAS mampu memimpin perubahan di Malaysia.
(Dr Syed Azman bersama Dr Mohamed Al-Badie’, Murshid-Am Ikhwanul Muslimin)
Sehubungan itu beliau menggesa seluruh ahli dan penyokong PAS berkerja keras bagi menghadapi pilihanraya umum yang akan diadakan pada bila-bila masa sahaja.

Pernyataan ini di suarakan oleh beliau ketika menerima kunjungan hormat Dr. Syed Azman Syed Ahmad, Penolong Setiausaha Agong PAS di Markaz Al-Am Ikhwan Muslimin atau ibu pejabat Pusat Ikhwan Muslimin yang berdiri gah di tengah-tengah kota Kaherah.

Dr. Syed Azman hadir ke Mesir bagi memenuhi jemputan menjadi pemerhati pilihanraya presiden yang di jangka akan di adakan pada bulan Mei ini.

Menurut Dr. Syed Azman, dalam pertemuan itu, beliau telah menyampaikan ucapan tahniah daripada seluruh kepimpinan, ahli-ahli dan penyokong-penyokong PAS kepada pimpinan Ikhwan.

Ikhwan telah berjaya menang dengan cemerlang dalam pilihanraya Parlimen Mesir beberapa bulan lepas dengan menguasai majoriti kerusi parlimen walaupun hanya baru setahun selepas kejatuhan rejim diktator Mubarak.

Dalam pertemuan tersebut Dr. al-Badie’ juga menegaskan bahawa setiap pemimpin dan ahli PAS mestilah peka dan sentiasa meneliti perubahan politik baru yang sedang melanda seluruh Dunia Islam akibat dari kesan ‘Arab Spring’ yang kini merubah peta politik Dunia.

Bagi beliau setiap rejim yang menafikan hak asasi rakyat serta rakus membolot khazanah kekayaan negara lambat laun akan dijatuhkan oleh kuasa rakyat yang tidak lagi takut dengan sebarang ugutan dan ancaman di tangkap.

Beliau menegaskan bahawa , "PAS mesti mengatur persiapan yang rapi bagi menghadapi pilihanraya kerana kemungkinan akan berlakunya manipulasi dan penipuan pilihanraya di Malaysia seperti mana yang sedang cuba dilakukan oleh saki baki rejim Mubarak di Mesir dalam pilihanraya Presiden sekarang ini dengan menggunakan kuasa tentera.

Bagi beliau, yang penting PAS mesti di lihat terkedepan dan komited membela kepentingan rakyat di Malaysia dan sama-sama membangunkan kembali negara berlandaskan kepada keadilan.

Dr Mohamed Al-Badie’ juga turut menjelaskan bahawa Ikhwan bertekad untuk melakukan perubahan sosial dan politik di Mesir secara aman.

Mereka mahu merubah sebarang bentuk penyelewengan dan salah-guna kuasa yang berlaku di sana walaupun kini terpaksa berhadapan dengan tentera yang di sokong oleh kuasa besar Barat.

Bagi Ikhwan, agenda reformasi politik di Mesir adalah amat penting bersesuaian dengan suasana globalisasi dunia yang mahu mewujudkan sebuah kerajaan yang bersih dan telus.

Beliau menegaskan bahawa setiap rakyat dan warganegara mempunyai hak mereka untuk bersuara demi kebaikan serta masa depan negara tersebut.

Sementara itu Dr. Syed Azman menyatakan bahawa "PAS akan terus komited menjalinkan hubungan dua hala yang lebih rapat dengan parti politik baru Ikhwan ‘Al-Hurriyat Wal Adalah’ (Parti Kebebasan dan Keadilan).

"Kita juga akan bertukar-tukar pengalaman dalam proses demokrasi, persiapan pilihanraya serta bagaimana cara menghadapi manipulasi dan penipuan pilihanraya”.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily hari ini.

Sinar Harian

Tiada ulasan: