20 April 2012

Perompak tertinggal selipar

28 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

ALOR GAJAH - Dua penjenayah bukan saja gagal merompak sebuah kedai kedai-buahan, malah seorang daripada mereka turut tertinggal sebelah seliparnya sewaktu melarikan diri.

Dalam kejadian kira-kira 7.30 pagi di sebuah kawasan perumahan­ di Gangsa, Durian tunggal, di sini, penjenayah terbabit bertindak menyerbu rumah kedai buah-buahan milik seorang pengusaha berusia lingkungan 40-an.

Penjenayah terbabit bagaimanapun gagal mendapatkan wang apabila laci penyimpan duit tidak dapat dibuka kerana berkunci, malah dalam keadaan kelam kabut masuk dalam kereta melarikan diri.

Saksi kejadian, Sultan Alaudin Mohamad Ismail, 35, berkata, dia terdengar bunyi bising, diikuti dengan jeritan isteri mangsa ketika kejadian.

Sultan Alaudin yang bekerja di sebuah kedai makan berdekatan kemudian bergegas ke tempat kejadian.

“Kedua-dua penjenayah berkenaan tergesa-gesa masuk ke dalam kereta jenis Volvo warna merah dan memecut,” katanya.

Menurutnya, isteri mangsa difahamkan sempat mengambil nombor plet kereta penjenayah terbabit.

“Terdapat darah pada pipi kiri mangsa, kesan cedera di tangan dan badan, selain baju yang dipakai mangsa turut direntap penjenayah terbabit.

“Sebelah daripada selipar milik penjenayah itu turut tercicir di tempat kejadian,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Menurutnya, mangsa juga berada dalam keadaan lemah selepas bergelut dengan dua penjenayah berkenaan sebelum dibawa ke Hospital Melaka untuk rawatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superitendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin berkata, mangsa yang dicederakan dengan pisau dibawa ke hospital oleh isterinya.

“Mangsa mengalami kecederaan ringan dan dirawat sebagai pesakit luar. Kes disiasat di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan atas kesalahan­ cubaan samun,” katanya.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah (IPD) di talian 06-5562222 untuk membantu siasatan.

Sinar Harian

Tiada ulasan: