21 November 2013

Gabungan ulama-profesional rahsia kekuatan PAS

17 Muharram 1435H. [MOD] -
Harakahdaily,21 Nov 2013

SHAH ALAM: Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat  Datuk Ustaz Harun Taib berkata, rahsia kekuatan PAS adalah kerana gabung jalin yang mantap antara golongan ulamak dan profesional.

Berucap ketika merasmikan Muktamar Dewan Ulamak kali ke-52 di Dewan MBSA di sini beliau berkata, sejak penubuhan PAS, gabungan dua golongan inilah yang telah memacu PAS sehinga berada di tahap sekarang ini.

"Rahsia kekuatan PAS sejak ditubuhkan pada 1951 adalah gabung jalin mantap antara ulamak dengan profesional.

"Mereka tidak saling bercanggah, malah menuju arah (matlamat) yang sama iaitu mahu mendirikan sebuah negara Islam," katanya.

Beliau mengambil contoh kisah Nabi Allah Sulaiman AS yang melantik burung belatuk sebagai pencari punca air dan melantik jin Ifrit untuk menggali tanah bagi mendapatkan air.

Katanya, ia menunjukkan bagaimana gabung jalin antara ulamak dan profesional itu penting dalam mencapai sesuatu matlamat.

Beliau menjelaskan, tohmahan kononnya ulamak 'gila kuasa' apabila menegaskan jawatan tinggi PAS sewajarnya dari golongan ulamak khususnya yang dilontar dalam resolusi Multaqa Ulamak di Kedah sebelum ini, merupakan satu salah faham.

Katanya, cadangan itu dibuat berdasarkan hadis Rasulullah bahawa "ulamak adalah pewaris Nabi" dan bukan mahu menunjukkan ulamak gila kuasa, tetapi sesuai dengan perlembagaan PAS yang meletakkan Islam sebagai dasar perjuangannya dengan menjadikan Al-Quran, Hadis, Ijma' dan Qias sebagai sumbernya.

"Ada kata kami gila kuasa. Kami bukan gila kuasa, tetapi siapa lagi yang lebih memahami (menghuraikan) perlembagaan parti ini.

"Kita bukan mahu mengenepikan peranan profesional," katanya.

Beliau juga mendakwa, muktamar kali ini sedikit panas ekoran resolusi Multaqa Ulamak di Kedah baru-baru ini yang melihat ulamak selepas itu diserang oleh banyak pihak.

Bagaimanapun katanya, ulamak sabar menghadapi pelbagai tuduhan itu sekaligus boleh meredakan suhu muktamar kali ini.

Mengulas isu Tahaluf Siyasi (kerjasama poitik) pula, beliau berkata cadangan Dewan Ulamak agar mengkaji semula kerjasama dalam Pakatan Rakyat itu bukan bermaksud untuk keluar dari gabungan itu.

Sebaliknya, ia sekadar menyemak semula sama ada kerjasama itu memberi keuntungan kepada kekuatan Islam atau sebaliknya.

"Semak semula bukan nak pecahkan, tapi semak semula keuntungan dan kelemahannya.

"Kadang-kadang keuntungan itu dari sudut harta benda sahaja," ujarnya lagi.

Dalam pada itu beliau menegaskan bahawa PAS tidak pernah berhenti dari perjuangan untuk menegakkan Islam.

Malah usaha itu akan terus diperkemas dengan pendekatan lebih lunak agar matlamatnya tercapai.

"Kita tak rasa lemah untuk tegakkan Islam dalam masyarakat berbilang bangsa begini," katanya.

No comments: