21 November 2013

Pemuda PAS perlu sasar kuasai 53% undi anak muda

17 Muharram 1435H. [MOD] -
Harakahdaily,20 Nov 2013
PETALING JAYA: Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Nasrudin Hassan memberikan penekanan terhadap tahap penguasaan undi anak muda di kerusi Parlimen yang ditandingi oleh PAS.

Katanya, secara purata mengikut negeri, sebagai neraca komitmen yang telah dan bakal dicurahkan oleh setiap ahli Pemuda PAS untuk mendapatkan lonjakan sokongan dalam PRU14 akan datang.

Secara purata, jelas beliau negeri Sabah dan Sarawak mencatatkan peningkatan sokongan anak muda terhadap calon PAS ke paras 30%, dengan Batu Sapi dan Sibuti berjaya mencatat penguasaan melebihi 40% undi anak muda.

“Negeri Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perlis, Perak dan Pulau Pinang telah menunjukkan lonjakan ketara namun masih belum melepasi paras 50% undi anak muda, manakala negeri Kelantan, Selangor, Kedah dan Terengganu pula merekodkan sokongan pengundi muda melebihi 50%,” ujarnya ketika menyampaikan ucap dasar pada Muktamar Tahunan DPPM ke-54 di sini, malam ini.

Muktamar dengan tema Infiru itu dirasmikan oleh Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

Menruutnya, secara spesifik, hanya satu kerusi Parlimen mencatatkan sokongan melebihi 70% undi anak muda diikuti sebahagian besar kerusi Parlimen yang dimenangi di Kelantan dan Selangor mencatat sokongan melebihi 60% undi anak muda; dan menariknya setiap kerusi yang dimenangi PAS mencatatkan sokongan undi anak muda melebihi paras 53%.

Ini bermakna, katanya bagi beberapa kerusi marginal yang gagal dimenangi oleh calon PAS, Pemuda perlu mensasarkan penguasaan minimum 53% undi anak muda untuk membuahkan kemenangan PAS dan Pakatan Rakyat di kerusi tersebut.

Justeru, beliau mengharapkan dengan pemerhatian makro yang diambil daripada laporan mikro yang dikemukakan oleh setiap Jabatan Pilihanraya Pemuda Negeri dan kawasan (kekuatan jentera, ketokohan calon, disiplin ahli, kerjasama PR, kekukuhan dana, impak media penerangan, keberkesanan aktiviti anak muda, faktor kerajaan/polis/SPR setempat) ini dapat menjadi pengukur pencapaian Pemuda PAS dalam PRU13 yang lepas, seterusnya menjadi pemangkin untuk kita memperbaiki dan meningkatkan prestasi dalam siri pilihanraya yang mendatang.

“Saya harap laporan yang disediakan tersebut kekal menjadi bahan rujukan utama, khususnya oleh kepimpinan baru DPPM dan kebanyakan Dewan Pemuda Negeri serta kawasan,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Temerloh.

No comments: