21 November 2013

Giatkan dialog dan penerangan kepada DHPP

17 Muharram 1435H. [MOD] -

PETALING JAYA: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) disaran agar turut mengadakan sesi dialog dan penerangan kepada Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) dalam usaha menyampaikan dakwah secara berterusan.

Saranan itu dikemukakan perwakilan Pahang, Nazri Ahmad ketika membahaskan ucaptama ketua pemuda, di Dewan Sivik, petang ini.

Malah, tambah beliau sesi usrah juga boleh dilaksanakan bersama-sama mereka sebagaimana yang dilakukan bersama para artis dan penggiat seni sebelum ini.

"Sebagai sebuah gerakan Islam, DPPM perlu membimbing DHPP agar boleh menjadi jurucakap yang lebih berkesan kepada masyarakat bukan Islam di luar sana untuk mendekati Islam," kata beliau.

Dalam masa sama, beliau turut menyeru agar program-program agama diperbanyakkan di tanah-tanah rancangan seperti Felda dan Felcra, dengan kerjasama NGO terpilih.

Program penerangan agama itu, tambah beliau perlu diadakan bagi memastikan anak-anak muda di tanah rancangan tersebut dapat memenuhi keperluan diri mereka.

Seramai 14 orang perwakilan diberikan peluang untuk membahaskan ucaptama ketua pemuda sempena Muktamar Tahunan DMPP kali ke-54.

No comments: