21 November 2013

Usul tahaluf siyasi diterima sebulat suara

17 Muharram 1435H. [MOD] -

PETALING JAYA: Usul politik berkaitan tahaluf siyasi yang dibawa Dewan Pemuda PAS kawasan Permatang Pauh diterima sebulat suara oleh para perwakilan dengan dua perbahasan sokongan.

Usul tersebut menegaskan berdasarkan suasana politik di Pulau Pinang, usul tersebut dibentangkan dengan dua pindaan, di mana DPP Permatang Pauh tidak bertujuan mencari gaduh, sebaliknya mencari jalan penyelesaian.


Usul itu menyarankan empat jalan yang perlu diambilkira bagi pengukuhan tahaluf siyasi, iaitu PAS Pusat perlu mewujudkan penyelarasan polisi dan dasar kerajaan negeri Pakatan Rakyat.

"Majlis Pakatan Rakyat perlu mewajibkan mesyuarat sekurang-kurangnya tiga bulan sekali bagi mengukuhkan tahaluf siyasi," kata perwakilan Permatang Pauh, Mohd Shafirol Rozali ketika mengemukakan usul, di Dewan Sivik, malam ini.

Selain itu, usul itu turut menegaskan sebarang lantikan dalam mana-mana kerajaan negeri dari kalangan ahli PAS mestilah mendapat persetujuan PAS kawasan, negeri mahupun cawangan.

Dalam masa sama, PAS perlu mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana yang diposisikan dalam kerajaan negeri jika tidak patuh dan taat kepada agenda parti dan Pakatan Rakyat.

Bagi pengukuhan tahaluf siyasi tersebut, PAS Pusat disaran untuk mewujudkan akademi kepimpinan, kursus-kursus dalam bentuk modul agar kakitangan kerajaan negeri dari kalangan PAS akan lebih kompeten dan amanah.

Dalam usaha mencari penyelesaian berkaitan tahaluf siyasi ini, maka Pakatan Rakyat perlu wajib diperkasakan, yang perlu dikemaskinikan dari semasa ke semasa.

Usul tersebut turut disokong oleh perwakilan dari kawasan Jeli dan Klang.

No comments: