21 November 2013

Pemuda Sarawak janji lonjakan sokongan sebelum PRN

17 Muharram 1435H. [MOD] -

PETALING JAYA: Dewan Pemuda PAS Sarawak hari ini berjanji akan meningkatkan sokongan pengundi kepada PAS sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang akan datang.

Dalam perbahasan ucapan dasar Ketua Pemuda di Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) kali ke-54, Perwakilan Sarawak, Aizan Mohd Noor berkata walaupun Sarawak merupakan simpanan tetap kepada Barisan Nasional (BN), namun gerak kerja akan dipertingkatkan bagi pengundi memihak kepada PAS dan Pakatan Rakyat.

"Berdasarkan keputusan pilihan raya yang lalu Sarawak terus menjadi simpanan tetap kepada BN dan itu tidak kita nafikan.

"Sehingga sekarang ia terus menjadi kubu BN dalam menyumbang kerusi mereka di parlimen, tetapi Pemuda PAS Sarawak optimis akan meningkatkan sokongan kepada kita sebelum PRN yang akan berlangsung nanti.

"Kita akan mengatur gerak kerja dalam mengenalpasti segala kelemahan yang dihadapi sebelum ini dan memperbaikinya ada kecemerlangan PAS dapat kita tunaikan," ucap beliau.

Dalam pada itu beliau tidak menolak cabaran yang akan dihadapi oleh PAS dalam mendekati pengundi kerana budaya dan suasana pengundi di Sarawak berbeza dengan semenanjung.

"Dalam keadaan kita berusaha, cabaran untuk menghadapi pengundi Sarawak tidak kita nafikan. Budaya politik yang amat berbeza jika dibandingkan di semenanjung.

"Pemuda PAS perlu mencari dan menyelesaikan cabaran tersebut agar usaha ini dapat kita atasi," kata beliau.

Aizan yang turut meminta agar hubungan baik dalam Pakatan Rakyat diperkukuhkan terutamanya di peringkat Sarawak.

Jelasnya lagi, PAS perlu mempelajari dengan DAP yang telah lama melabur di Sarawak sehinggakan parti itu diterima pengundi di sana.

"Saya harap jangan ada persengketaan antara rakan-rakan kita dalam Pakatan Rakyat, hubungan ini perlu kita jaga dan eratkan terutamanya peringkat Negeri Sarawak dalam usaha kita meningkatkan sokongan.

"Kita kena belajar daripada DAP yang telah lama bertapak di sana sehinggakan mereka mendapat pulangan dengan kemenangan yang diperoleh pada pilihan raya yang lepas.

"Kesefahaman yang wujud antara pimpinan parti akan melancarkan usaha kita menawan Sarawak dan seterusnya menyumbang kerusi di peringkat parlimen," sambung beliau.

Dalam pada itu beliau turut mencadangkan agar DPPM mewujudkan Pusat Aushan Tunas Islam (Pasti) bagi tujuan mengembangkan syariah melalui pendidikan kepada anak-anak pengundi di kampung dan juga bandar.

Harakahdaily/-

No comments: