21 November 2013

Tugas Muslimat, dekatkan Melayu kepada Islam

17 Muharram 1435H. [MOD] -
Harakahdaily,20 Nov 2013
SHAH ALAM: Muslimat PAS perlu memikul tanggungjawab besar iaitu mendekatkan orang Melayu kepada Islam.

Ketua Dewan Muslimat PAS, Siti Zailah Mohd Yusof berkata, untuk mencapai objektif itu, muslimat terlebih dahulu perlu bijak menangani dakyah Umno itu sendiri.

Menurutnya, Umno hakikatnya bukan sahaja menjauhkan bukan Melayu daripada Islam, malah Umno juga menjauhkan orang Melayu daripada Islam. 
Sedangkan PAS melalui kerjasama politik di dalam Pakatan Rakyat ujarnya, mempunyai ruang dakwah yang begitu luas bukan sahaja terhad kepada bangsa Melayu tetapi juga memberi kefahaman berhubung Islam kepada yang bukan Melayu dan beragama lain selain Islam.

"Sekarang tugas kita para Muslimat hanya tinggal satu iaitu mendekatkan semula orang Melayu kepada Islam.

"PAS perlukan orang Umno untuk berhijrah kepada PAS. Kita perlu menangani dakyah Umno di peringkat akar umbi khususnya kalangan masyarakat Melayu," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Ketua Dewan Muslimat di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz Shah malam ini.

Dalam pada itu beliau juga menolak dakwaan kononnya sokongan Melayu kepada PAS merosot melihat kepada keputusan pengundian pada Pilihan Raya Umum ke-13 Mei lalu.

Katanya melihat kepada undi orang Melayu, dapatan awal kita menunjukkan bahawa berlaku peningkatan sokongan undi orang Melayu khususnya di Terengganu dan Johor.

"Manakala undi Melayu bagi Negeri Sembilan, Melaka dan Pahang adalah puratanya tidak berubah," katanya lagi.

Dalam pada itu beliau berkata, natijah daripada Tahaaluf Siyasi yang diputuskan secara syura kepimpinan PAS telah akhirnya berjaya melebarkan dakwah kepada masyarakat yang bukan Islam.

Kerjasama itu katanya juga telah menyebabkan PAS berjaya memecahkan benteng tersukar untuk muncul sebagai parti nasional yang sesuai untuk semua kaum.


Mengulas cabaran dan persiapan berhadapan PRU-14 akan datang pula, Zailah mahu Dewan Muslimat memperhalusi 13 perkara seperti berikut.

1) Mantapkan Organisasi Dan Kepimpinan Dewan Muslimat Di Semua Peringkat
2) Mantapkan Jentera Pilihanraya Muslimat – HalWa Di Semua Peringkat
3) Bersihkan Daftar Pemilih
4) Program Mendaftarkan Pemilih Baru
5) Program Menambahkan Ahli PAS
6) Memperkukuhkan Kerjasama Wanita Pakatan Rakyat
7) Engagement Dengan Anak Rantau
8) Engagement Dengan NGO’s
9) Falsafah Dakwah Dan Berkebajikan Merentas Setiap Program
10) Menguasai Kemahiran Komunikasi, ICT, Strategi Dan Penyelesaian Konflik
11) Konsisten Menyantuni Masyarakat Dan Pengundi
12) Persiapan Dana PRU14
13) Mengikuti Dan Menguasai Isu-Isu Penting Malaysia

No comments: