21 November 2013

Penegasan Dewan Ulamak isu batal pendaftaran PAS

17 Muharram 1435H. [MOD] -
Harakahdaily,21 Nov 2013
SHAH ALAM: Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP), Datuk Ustaz Harun Taib ingin menegaskan kepada pemimpin Pakatan Rakyat yang mencadangkan pendaftaran PAS dibatalkan kerana ia berasaskan agama bahawasanya PAS adalah parti yang paling sesuai dengan keadaan semasa dan masyarakat berbilang kaum dan agama.

Ini, tegasnya kerana Islam diturunkan oleh Allah kepada manusia yang berbilang bangsa dan agama.

“Kerana itu saya menyeru pimpinan Pakatan Rakyat agar menerima Islam sebagai dasar pemerintahan negara,” ujarnya dalam ucaptama pada Muktamar Tahunan DUPP kali ke-52 di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam, di sini pagi ini.
Teks beliau dibacakan oleh timbalannya, Ustaz Datuk Ahmad Yakob pada muktamar yang bertemakan ‘Ulama Haraki Menangani Fasad Mengisi Kemenangan’.

Tambah beliau, tahaluf siyasi bertujuan memperkenalkan Islam kepada bukan Islam dan menjelaskan bahawa Islam adalah penyelesaian terbaik untuk masalah manusia.

Pada kesempatan muktamar ini juga, beliau berhasrat merungkaikan kesamaran dan kekeliruan yang dilemparkan kepada DUPP yang perlu dihentikan.

Katanya, apabila DUPP menjelaskan hadis tentang ulama sebagi pewaris Nabi, ia tidak bermaksud ulama mengangkat diri dan mendabik dada tetapi merupakan penyataan tentang tugas dan tanggungjawab besar yang perlu dipikul oleh ulama sebagai pewaris tugasan Nabi s.a.w.

Beliau menjelaskan, apabila DUPP bercakap tentang kepimpinan ulama, ia tidak bermaksud ulama tamak untuk menjadi pemimpin tetapi ia adalah penegasan bagi apa yang ada dalam perlembagaan PAS yang meletakkan al-Quran, hadis, ijmak dan qiyas sebagai sumber rujukan.

“Keempat-empat sumber ini hanya boleh dihurai dan dijelaskan oleh para alim ulama. Maka hendaklah mengambil pengajaran oleh orang-orang yang berakal,” ujarnya.

No comments: