21 November 2013

Usul Ulamak: Kaji tahaluf perkukuh Pakatan

17 Muharram 1435H. [MOD] -
Harakahdaily,21 Nov 2013
SHAH ALAM: Muktamar Dewan Ulamak PAS Pusat hari ini menerima sebulat suara usul supaya Majlis Syura Ulamak dan PAS Pusat mewujudkan satu jawatankuasa bagi mengkaji Tahaluf Siyasi bagi mengukuhkan Pakatan Rakyat menghadapi PRU14.

Usul tersebut dikemukakan bersama oleh Dewan Ulamak PAS Wilayah Persekutuan dan Pulau Pinang.

Penjelasan usul berkenaan disampaikan oleh Setiausaha Dewan Ulamak PAS Wilayah Persekutuan, Usta Abdul Hadi Abdul Halim.
Usul itu mencadangkan kepada Majlis Syura Ulamak dan Jawatankuasa PAS Pusat mewujudkan jawatankuasa khusus bagi  mengkaji, menyemak serta menilai kekuatan dan kelemahan, kejayaan dan kegagalan pendekatan Tahaaluf Siyasi dalam Pakatan Rakyat sepanjang ia berlangsung dari sudut mafsadah (kerosakan) dan maslahah (kebaikan) syar'iyyah dengan niat dan tujuan penambahbaikan dan pengukuhan Pakatan Rakyat untuk lonjakan PRU ke 14.

Berikut usul-usul yang diterima untuk dibahas dan lulus tanpa bahas.

Usul-Usul yang diterima untuk di bahas:-

1.    Usul Dewan Ulamak PAS Negeri Pulau Pinang:

Maka Dewan Ulamak PAS Pulau Pinang mendesak supaya PAS Pusat mewujud dan menggerakkan mekanisma penyelarasan polisi dan dasar bagi negeri-negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat bagi memastikan segala dasar kerajaan negeri dan lantikan perjawatan di peringkat kerajaan negeri dibuat secara persetujuan bersama ketiga-tiga parti

2.    Usul Dewan Ulamak PAS Negeri Perak:

Dewan Ulamak PAS Perak dengan ini mengemukakan USUL BERKENAAN BAHAYA PEMIKIRAN ISLAM LIBERAL DAN PLURALISME YANG MENYESATKAN Pemikiran Umat Islam dan manusia sejagat. Ancaman pemikiran Liberal dan Pluralisme adalah satu ancaman pemikiran  oleh sedang dihadapi oleh gerakan Islam di seluruh dunia.

Pemikiran Islam Liberal dan Pluralisme adalah pemikiran yang sedang dihadapi oleh gerakan Islam seluruh dunia. Dunia Arab dan negara jiran Malaysia iaitu Indonesia telah terlebih dahulu berhadapan dengan asakan pemikiran Islam Liberal dan Pluralisme. Fenomena ini tidak dapat disangkal lagi kerana pengharaman pemikiran Islam Liberal dan Pluralisme telah diwartakan.

Kini bahang pemikiran Islam Liberal dan Pluralisme sudah sampai ke Malaysia. Sebelum ini, pihak berkuasa agama seperti JAKIM telah menyenaraikan Sister In Islam (SIS) adalah sebuah NGO Islam Liberal yang wujud di Malaysia. Kini, Islamic Renaisansse Front (IRF) didapati membawa dakyah Islam Liberal dan Pluralisme.

Bagi menghadapi dan membendung penularan gejala Islam Liberal dan Pluralisme yang semakin  berleluasa ini,  maka dengan ini kami daripada Dewan Ulamak PAS Perak mengusulkan beberapa perkara seperti berikut :

i)    PAS sebagai Parti yang memperjuangkan dasar dan pemikiran Islam, wajiblah menghadapi IRF ini dengan tegas. Ketetapan perlu dibuat agar tiada pimpinan PAS samada di peringkat pusat, negeri, kawasan dan cawangan yang didakwa terbabit dengan Islam Liberal dan Pluralisme yang didokong oleh IRF. Malah, organisasi-organisasi PAS seperti harakah, harakahdaily dan  pengkaderan serta wacana-wacana PAS perlulah dijauhi dari IRF. Kita wajib memboikot aktiviti-aktiviti IRF dan segala pemikiran haddamah yang ditaja IRF.

ii)    Pemimpin-pemimpin PAS yang terpalit dengan segala aktiviti-aktiviti Islam Liberal dan Pluralisme hendaklah menafikan penglibatannya secara telus dan terbuka. Malah, kita menghendaki pemimpin-pemimpin terbabit menarik balik sokongan moral kepada Islam Liberal dan Pluralisme terutama yang didokong oleh IRF dengan segera sebelum UMNO dan BN menjadikannya sebagai alasan dan senjata untuk menghentam PAS dan kepimpinannya.

iii)    Melalui idea-idea asas Islam Liberal dan Pluralisme seperti penolakan negara Islam yang syumul, penolakan hukum hakam syariat dan memperlekeh ulama-ulama silam, maka hendaklah PAS dan seluruh pemimpin dan ahlinya menentang dengan segela kudrat yang ada. Tujuannya adalah untuk mengembalikan kekuatan PAS yang berteraskan Islam, matlamat menegakkan negara Islam, mendaulatkan syariat Islam dan memperjuangkan pemikiran Islam yang syumul. Semua ini adalah tunjang utama kekuatan PAS.

3.    Usul Jawatankuasa Dewan Ulamak PAS Pusat:

Menyedari bahawa konsep percukaian islam mensyaratkan perkara-perkara berikut:

i)    Keperluan mendesak terhadap kewangan negara yang tidak cukup untuk belanja pengurusan negara.

ii)    Kekurangan kewangan negara berlaku bukan kerana ketirisan dan pembaziran dalam pngurusan kewangan negara.

iii)    Cukai tidak dikenakan kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaya dan miskin.

Maka dengan ini muktamar DEWAN ULAMAK PAS PUSAT yang bersidang pada hari ini menegaskan bahawa cukai GST (Good & Service Tax) adalah bercanggah dengan prinsip percukaian Islam dan perlu ditolak.

Muktamar DUPP juga mengusulkan PAS Pusat menegaskan pendirian ini dan mendesak kerajaan Malaysia menarik balik keputusan untuk melaksanakannya pada pertengahan 2015.

4.    Usul Bersama Dewan Ulamak PAS Wilayah Persekutuan dan Dewan Ulamak PAS Negeri Pulau Pinang

Menyedari bahawa Multaqa Ulamak Semalaysia anjuran Dewan Ulamak PAS Pusat yang  diadakan pada 14hb september 2013 dihadiri oleh para perwakilan dari Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Ulamak PAS Negeri-negeri dan Urusan Ulamak Kawasan maka Dewan Ulamak PAS Wilayah Persekutuan dan Dewan Ulamak PAS Pulau Pinang mencadangkan,

Muktamar Dewan Ulamak PAS Pusat yang bersidang pada hari ini:

Mencadangkan kepada Majlis Syura Ulamak dan Jawatankuasa PAS Pusat mewujudkan jawatankuasa khusus bagi  mengkaji, menyemak serta menilai kekuatan dan kelemahan, kejayaan dan kegagalan pendekatan Tahaaluf Siyasi dalam Pakatan Rakyat sepanjang ia berlangsung dari sudut mafsadah (kerosakan) dan maslahah (kebaikan) syar'iyyah dengan niat dan tujuan penambahbaikan dan pengukuhan Pakatan Rakyat untuk lonjakan PRU ke 14.

Usul-usul yang diterima tanpa bahas

1.    Usul Dewan Ulamak PAS Wilayah Persekutuan:

Menyedari bahawa Multaqa Ulamak Semalaysia anjuran Dewan Ulamak PAS Pusat yang  diadakan pada 14hb september 2013 dihadiri oleh para perwakilan dari Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Ulamak PAS Negeri-negeri dan Urusan Ulamak Kawasan maka Dewan Ulamak PAS Wilayah Persekutuan dan Dewan Ulamak PAS Pulau Pinang mencadangkan.

Muktamar Dewan Ulamak PAS Pusat yang bersidang pada hari ini menerima dan melaksanakan semua lapan resolusi Multaqa Ulamak Semalaysia untuk tujuan pengukuhan Dewan Ulamak PAS Pusat, Parti Islam Semalaysia dan Pakatan Rakyat.

2.    Usul Dewan Ulamak PAS Negeri Terengganu:

i)    Usul Dewan Ulama PAS Negeri Terengganu,

Umat Islam di Malaysia hari ini berhadapan dengan ancaman berbagai ajaran sesat dan aliran fahaman yang merosakkan akidah dan meruntuhkan akhlak mereka.

Menyedari umat Islam di negara ini sedang menghadapi ancaman pengaruh dari berbagai aliran fahaman dan pemikiran yang merosakkan akidah dan bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang memecahbelahkan perpaduan ummah, maka muktamar Dewan Ulama PAS Negeri Terengganu yang bersidang pada hari ini mendesak PAS Pusat memainkan peranan secara lebih berkesan bagi membendung penularan fahaman/ajaran tersebut dan dalam masa yang sama memberi penjelasan tentang bahayanya fahaman/ajaran itu kepada umat Islam di Negara ini.

ii)    Usul Urusan Ulama PAS Kuala Nerus,

a)    Memandangkan ulama menjadi tonggak dalam kepimpinan PAS yang mesti didokong dan dipertahankan oleh semua ahli PAS, maka Dewan Ulamak PAS Negeri Terengganu yang bersidang pada hari ini mendesak PAS Pusat menaikkan taraf Urusan Ulamak PAS Kawasan kepada Dewan Ulamak PAS Kawasan.  Oleh yang demikian Fasal 30 (1) Perlembagaan Parti Islam Se Malaysia (PAS) hendaklah dipinda dan dimasukkan satu peruntukan mengenai penubuhan Dewan Ulama PAS Kawasan, manakala Fasal 20 (3) (e) juga hendaklah dipinda bagi membolehkan Dewan Ulamak PAS Kawasan memilih dan mengangkat perwakilannya seramai 15 orang ke Mesyuarat Agung PAS Kawasan.  Fasal 30 (2) Perlantikan AJK hendaklah dilantik oleh Mesyuarat Agung Dewan Ulamak PAS Kawasan.

b)    Menyedari kepimpinan ulamak menjadi tonggak kepada PAS yang digagaskan oleh Dewan Pemuda PAS Pusat pada 1982, maka menjadi tanggung jawab kepada parti untuk mempastikan kelangsungan kepimpinan ulamak supaya difahami dan dihayati oleh seluruh ahli-ahli PAS. Supaya tidak timbul kecelaruan dalam pemikiran kita berhubung dengan kepimpinan di peringkat tinggi iaitu Presiden, Timbalan Presiden dan Naib Presiden, maka Dewan Ulamak PAS Negeri Terengganu yang bersidang pada hari ini mendesak PAS Pusat memasukkan satu fasal yang memperuntukkan Presiden, Timbalan Presiden dan sekurang-kurangnya salah seorang Naib Presiden terdiri dari ulamak.

No comments: