21 November 2013

Produk makanan berbungkus wajib label kandungan kalori, tenaga

17 Muharram 1435H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Kebanyakan produk makanan berbungkus yang menyumbang kalori utama diwajibkan dilabel dengan nilai tenaga di bawah Peraturan Pelabelan Pemakanan Peraturan-Peraturan 1985, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam. 

Beliau berkata, di bawah peraturan itu, pelabelan pemakanan yang meliputi kandungan kalori adalah wajib bagi kategori makanan seperti makanan bijirin tersedia dan roti; hasil susu; konfeksi tepung; sos salad; minuman ringan; daging, ikan dan sayuran dalam tin; buah berkaling atau dalam tin; dan makanan yang bertujuan khas seperti rumusan bayi, rumusan susulan dan lain-lain. 



"Bagaimanapun, makanan yang tidak tersenarai di dalam kategori seperti di atas juga boleh mengisytiharkan kandungan kalori dengan mematuhi keperluan yang dinyatakan dalam peruntukan berkaitan," katanya dalam jawapan bertulis pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini. 

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Lim Lip Eng (DAP-Segambut) yang ingin tahu sama ada kerajaan berhasrat mewajibkan semua produk makanan menyatakan kandungan kalori dan definisi obesiti mengikut umur. 

Dr Subramaniam berkata kementerian turut menggalakkan restoran makanan segera supaya memberi maklumat kepada pelanggan berhubung kandungan kalori yang terdapat pada setiap makanan yang dijual di restoran berkenaan. 

"Kementerian mengeluarkan Garis Panduan Pengiklanan dan Pelabelan Maklumat Pemakanan Makanan Segera kepada industri terlibat berhubung cara penyampaian maklumat berkaitan," katanya. 

Sementara itu, Dr Subramaniam berkata ukuran obesiti di Malaysia bagi bayi dan kanak-kanak adalah berdasarkan carta 'Body Mass Index' (BMI) untuk umur yang dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). 
"Seseorang bayi dan kanak-kanak yang berumur 0 hingga lima tahun dikategori mengalami masalah obesiti apabila pengiraan BMI atau Indeks Jisim Tubuh (IJT) melebihi lengkuk atau garisan +3SD (z-skor). 

"Bagi mereka yang berumur lima hingga 19 tahun, obesiti ditafsirkan sebagai pengiraan BMI melebihi lengkuk atau garisan +2SD (z-skor)," katanya. 

Beliau berkata bagi orang dewasa pula, klasifikasi obesiti dibuat berdasarkan kiraan BMI yang mengambil kira ukuran berat dalam unit kilogram dan tinggi dalam meter. 

"Mereka diklasifikasi sebagai obesiti apabila mempunyai BMI melebihi 30," katanya. 

- BERNAMA

Tiada ulasan: