21 November 2013

Penyampai Ikim, anggota UNIC antara penerima anugerah da'i muda

17 Muharram 1435H. [MOD] -

PETALING JAYA: Seramai lima tokoh anak muda dari pelbagai bidang menerima Anugerah Da'i Muda Malaysia pada Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) kali Ke-54, malam tadi.

Penerima anugerah ini terdiri daripada tokoh anak muda yang memberikan sokongan atau bantuan dalam bidang kerjaya masing-masing kepada DPPM.

Kumpulan nasyid UNIC yang popular dengan lagu Ke Makam Bonda menerima anugerah ini bagi kategori hiburan.

Bagi kategori penyampai radio, penerimanya ialah juruhebah Radio Ikim, Syafiq Zulakifli manakala Pengacara TV Al Hijrah, Amin Idris menerima anugerah ini bagi kategori pengacara televisyen.
Bagi kategori sutradara pula, pelakon, penerbit dan pengarah, Adam Hamid menerima anugerah ini dan Pengarang Harakah, Wan Nordin Wan Yaacob menerima anugerah ini bagi kategori kewartawanan.

DPPM juga buat julung kalinya memperkenalkan Anugerah Tokoh Jabatan Amal Malaysia.

Anugerah ini diterima anggota Unit Amal Perak, Abdul Rahim Abdul Syukur.

Selain aktif dalam aktiviti Unit Amal, Abdul Rahim pernah terlibat dalam membantu mencari orang hilang dengan kerjasama agensi kerajaan pada tahun 2010.

Beliau juga membantu mencari anggota gerak khas semasa sesi latihan di Selama Perak.

DPPM juga memilih bekas Setiausaha Agung PAS Pusat pada tahun 1989 hingga 1998 dan juga bekas Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Abdul Halim Arshad sebagai tokoh pemuda.

Ustaz Halim pernah ditahan ISA dua kali masing-masing pada tahun 1980 dan 1987.

Selain itu, DPPM turut menghargai jasa Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan menganugerahi beliau sebagai tokoh murabbi.

Sementara itu, sebagai menghargai sumbangan Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) kepada PAS, DPPM mewujudkan lima kategori anugerah bagi produknya ini.

Kategori pertama iaitu Indeks Pencapaian Utama (KPI) terbaik bagi peringkat negeri dimenangi oleh PASTI Negeri Perak.

Manakala bagi peringkat kawasan, PASTI Serdang, Selangor mendapat KPI yang terbaik.

PASTI Negeri Selangor pula mendapat anugerah PASTI Negeri terbaik dari segi pertambahan murid iaitu daripada 16,390 kepada 18,280 murid.

Bagi peringkat kawasan pula, PASTI Serdang, Selangor menerima anugerah PASTI terbaik dari segi pertambahn murid iaitu dari 1,980 kepada 2,300 murid.

Anugerah PASTI terbaik dari segi penubuhan cawangan paling banyak diterima oleh PASTI Negeri Selangor dan Perak.

Sementara itu, Ketua Majlis Guru PASTI Malaysia, Saadiah Abu Bakar menerima anugerah tokoh muallimah tahun ini.

Selain itu, DPPM turut memperkenalkan Anugerah Kecemerlangan PRU13 yang diterima oleh DPP Kawasan Kubang Kerian yang mencatatkan 72 peratus pengundi muda.
Harakahdaily/-

No comments: